73 keluarga terjejas banjir kilat - Utusan Malaysia

73 keluarga terjejas banjir kilat

AIR banjir yang mulanya tinggi sehingga paras dada kini mulai surut di beberapa kawasan di Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 321 penduduk daripada 73 buah keluarga yang terjejas dalam kejadian banjir kilat di negeri ini semalam, ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel Cuthbert John Martin Quadra berkata, dua PSS dibuka di Sekolah Menangah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir dan SMK Bukit Rambai.

Katanya, dua PPS lagi di Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Tanjung Minyak dan Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal.

“Seramai 124 penduduk daripada 26 buah keluarga ditempatkan di SMK Tun Mutahir manakala SMK Bukit Rambai melibatkan 102 orang daripada 22 buah keluarga.

“SRA JAIM Tanjung Minyak menempatkan 40 mangsa daripada 12 buah keluarga dan Dewan Japerun Durian Tunggal menempatkan 55 mangsa daripada 13 buah keluarga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya, setakat ini tiada PPS yang dibuka di daerah Jasin.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Kampung Sungai Putat setakat pukul 5 petang semalam mendapati, air yang mulanya tinggi sehingga paras dada kini mulai surut paras lutut di beberapa buah kawasan.

Laluan utama jalan besar yang terputus hubungan juga mulai dilalui kenderaan pada pukul 1 petang semalam.

Seorang mangsa banjir yang ditemui di PPS Tun Mutahir, Hazman Mohd. Dom, 60, berkata, dia tidak menyangka hujan lebat sejak pukul 6.30 pagi semalam menyebabkan rumahnya digenangi banjir dan kereta miliknya hampir tenggelam.

“Kebiasaanya bila hujan lebat, air hanya bertakung di laman rumah tetapi kali ini memang teruk.

“Saya hanya sempat menyelamatkan dokumen penting. Kereta juga dimasuki air, terpaksalah saya berpindah ke PPS ini dalam keadaan sehelai sepinggang, ” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya