7 ahli sindiket pinjaman wang tanpa lesen ditahan - Utusan Malaysia

7 ahli sindiket pinjaman wang tanpa lesen ditahan

ARJUNAIDI MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan sebuah sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang menjadikan rumah teres dua tingkat sebagai markas membawa padah apabila tujuh ahlinya ditahan dalam satu serbuan di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11.05 pagi itu, tujuh lelaki warga tempatan berusia 19 hingga 40 tahun ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, sindiket bergerak aktif sejak sebulan lalu dengan menawarkan pinjaman wang tanpa lesen kepada peminjam.

“Hasil serbuan, kita merampas 15 unit telefon bimbit; 10 kotak kad nama atas Syarikat Starhill Credit Berhad; komputer riba; kad bank dan buku cek.

“Kita juga merampas lima buah kenderaan dan wang tunai berjumlah RM50,000 semasa serbuan dijalankan. Pemeriksaan terhadap semua suspek mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Arjunaidi menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen yang mana kesan daripada pinjaman tersebut boleh menyebabkan orang ramai menerima ugutan jenayah atau ancaman keselamatan ekoran daripada kegagalan pembayaran hutang.

“Sekiranya ingin membuat pinjaman orang ramai seharusnya menyemak terlebih dahulu status syarikat yang menawarkan pinjaman tersebut melalui aplikasi “i-KrediKom”.

“Aplikasi ini berfungsi sebagai medium untuk membolehkan orang ramai mendapatkan informasi yang berkaitan dengan Kredit Komuniti serta membuat carian sama ada syarikat Kredit Komuniti berlesen atau tidak,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua suspek telah ditahan mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan direman sehingga 21 Mei bagi membantu siasatan.

Jelasnya, kes disiasat dibawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 atas kesalahan pemberian pinjaman wang tanpa lesen. Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya