60 lokasi berpotensi cetus kluster baharu di Melaka - Utusan Malaysia

60 lokasi berpotensi cetus kluster baharu di Melaka

RAHMAD Mariman ketika sidang akhbar di Japerun Ayer Molek, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Kesihatan negeri mengesan 60 lokasi  berpotensi menjadi kluster baharu di negeri ini, selepas mencatatkan keseluruhan 35 kluster aktif setakat ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, Jabatan Kesihatan sedang memantau kesemua kes tersebut yang kebanyakannya merekodkan lebih lima kes kumulatif. 

“Kita memantau 60 lokasi yang berpotensi menjadi kluster baharu melibatkan tiga daerah masing-masing dengan jumlah kumulatif melebihi lima kes. 

“Kes-kes ini melibatkan penularan ahli keluarga, komuniti, tempat kerja dan keagamaan,” kata beliau di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan kes-kes yang melibatkan penularan komuniti dan keluarga itu berpunca daripada aktiviti ziarah Hari Raya Aidilfitri, dua minggu lalu. 

“Sebelum ini kita mengesan kluster dipercayai berpunca daripada aktiviti ziarah raya termasuklah Kluster Batu Lapan Bukit Rambai yang melibatkan kes indeks seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun. 

“Kluster ziarah raya antara penyumbang peningkatan jumlah kes positif negeri  dan saya tidak menolak kemungkinan 60 kes yang sedang dipantau ini juga berpunca daripada aktiviti ziarah kerana kebanyakannya melibatkan ahli keluarga,” ujarnya.

Tambahnya, pemantauan rapi dilakukan termasuk memastikan setiap individu yang disahkan positif serta penduduk di kawasan-kawasan tersebut supaya patuh  prosedur operasi standard (SOP). 

Semalam, Melaka merekodkan pertambahan  45 kes melibatkan sembilan kluster aktif iaitu Kluster Industri Pengkalan Balak (enam kes), Kluster Industri Batu Berendam (25 kes), Kluster Jalan Tanjung Minyak (empat kes) dan Kluster Taman Kesang Indah (tiga kes).

Kluster Industri Kelemak dan Kluster Industri Batu 16 Bemban masing-masing merekodkan pertambahan dua kes, manakala Kluster Jalan Dato Dol Said, Kluster Terendak Permai dan Kluster Batu Lapan Bukit Rambai sebanyak satu kes. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya