5,000 penduduk akur arahan PKPD - Utusan Malaysia

5,000 penduduk akur arahan PKPD

PKPD bakal dilaksanakan di sembilan lokaliti di Bandar Darulaman dan di Lubuk Kawah di Jitra esok hingga 31 Mei.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Lebih 5,000 penduduk di sembilan lokaliti di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah di Jitra di sini akur arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu bermula esok hingga 31 Mei ini.

Mereka menganggap keputusan kerajaan melaksanakan PKPD sebagai langkah terbaik bagi mengekang penularan Covid-19.

Seorang penduduk di Taman Mahsuri Fasa 2C, Azmi Saad, 56, berkata, tindakan itu tepat susulan peningkatan kes positif Covid-19 sejak kebelakangan ini.

“Memang ini langkah yang baik mengawal keluar masuk orang ramai ke sini. Kawasan ini telah diisytiharkan zon merah dan jika kawalan pergerakan tidak diambil, dikhuatiri akan ada lebih banyak kes baharu.

“Sebelum ini di Taman Mahsuri Fasa 2A memang diletakkan batu penghadang kerana dilaporkan terdapat banyak kes Covid-19 tetapi tiada siapa yang berkawal di situ menyebabkan pergerakan tidak dikawal. Jadi dengan adanya PKPD, pergerakan orang ramai akan lebih teratur,” katanya di sini, hari ini.

PKPD di sembilan lokaliti dalam Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah akan bermula esok hingga 31 Mei depan setelah kerajaan meneliti penilaian risiko dibuat pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebelum itu,  Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD di sembilan lokaliti itu membolehkan KKM melakukan ujian saringan secara bersasar kepada golongan berisiko tinggi mendapat jangkitan.

Sementara itu, peniaga alat telekomunikasi di Pusat Perniagaan Bandar Barat, Saiful Rozi Aripin, 43, turut akur meskipun terpaksa menutup kedai  hampir dua minggu.

“Saya difahamkan hanya kedai runcit saja yang dibenarkan beroperasi. Walaupun terpaksa ‘tutup buku’ sebentar, namun kami akur kerana ini sesuatu yang harus dilakukan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.

“Kesian juga kepada pekerja tetapi ini sesuatu yang terpaksa dilakukan. Apa pun kami berharap pelaksanaan PKPD ini dapat segera menyelesaikan penularan Covid-19 bagi membolehkan kami dapat kembali berniaga selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan menasihatkan orang ramai sentiasa patuh dengan setiap prosedur operasi standard (SOP)  Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan pelaksanaan PKPD tersebut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya