4 PATI tangkap ikan di zon larangan ditahan - Utusan Malaysia

4 PATI tangkap ikan di zon larangan ditahan

BOT pukat tunda dikendalikan empat PATI Myanmar ditahan kerana melanggar syarat sah lesen di perairan Perak di Lumut semalam. - IHSAN MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 dikendalikan pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana melanggar syarat sah lesen menjalankan aktiviti perikanan di kawasan larangan petang semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda yang sedang melaksanakan Op Benteng Laut dan Op Pintas di sekitar perairan Pulau Sembilan mengesan sebuah bot nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan sedang melakukan aktiviti perikanan dalam kawasan yang dilarang oleh syarat sah lesen iaitu kurang dari tiga batu nautika.

“Bot itu dikesan di posisi 1.9 batu nautika barat daya Pulau Batu Putih kira-kira pukul 3.15 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, bot nelayan tersebut dipintas dan diberhentikan bot peronda ketika aktiviti perikananan sedang dilakukan.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut menggunakan pukat tunda dikendalikan empat kru termasuk tekong yang kesemuanya warga Myanmar berusia dalam lingkungan 34 tahun hingga 39 tahun serta tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Shahrizan berkata, bot tersebut dipercayai berpengkalan di Hutan Melintang, Bagan Datuk disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 menangkap ikan di zon yang dilarang, serta Akta Imigresen 1959/63 menggajikan kru warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Tegasnya, tekong dan kru serta bot ditahan dengan hasil tangkapan dianggarkan 30 kilogram itu diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu Sitiawan, dekat sini, malam tadi bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya