GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan empat nelayan warga Indonesia yang disyaki menceroboh perairan negara di sekitar Pulau Kendi, di sini, semalam.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan Kapal Maritim (KM) Burau Maritim Malaysia di kedudukan 45 kilometer barat daya Pulau Kendi, kira-kira pukul 3.30 petang semalam.
Katanya, penahanan itu dilakukan ketika anggota Maritim Malaysia menjalankan rondaan rutin operasi bersepadu iaitu Op Benteng Laut, Op Pertiwi dan Op Tanjung.
”Bot nelayan asing disyaki dari Indonesia itu ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tidak bernombor tersebut dikendalikan empat kru termasuk tekong berumur lingkungan 21 hingga 33 tahun serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Maritim Malaysia negeri bagi menjalani saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan.
“Mereka kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Tambahnya, orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan diseru memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut kepada pihak berkuasa.
“Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146,” katanya. – UTUSAN ONLINE