332 pasangan pengantin tangguh akad nikah - Utusan Malaysia

332 pasangan pengantin tangguh akad nikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak 332 pasangan pengantin perlu bersabar sebelum diijab kabul setelah Pejabat Agama Kota Setar mengambil keputusan menangguhkan proses akad nikah di daerah ini.

Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Syaikh Ahmad Faisol Omar berkata, langkah itu dibuat sejajar dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 28 mukim dalam Kota Setar bermula esok hingga 1 Jun ini.

Katanya, semua bakal pengantin diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Kota Setar selepas PKPD berakhir bagi mendapatkan tarikh akad nikah baharu.

“Selain itu semua masjid dan surau dalam daerah ini diarah tutup sepenuhnya dalam tempoh PKPD.

“Masjid hanya dibuka untuk solat fardu berjemaah dengan bilangan lima orang terdiri daripada pegawai masjid dan ahli jawatan kuasa kariah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, solat Jumaat pula hanya dibenarkan dengan bilangan 12 orang terdiri daripada kalangan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah.

“Ahli kariah yang lain boleh menunaikan solat fardu di rumah. Pada hari Jumaat pula, solat zohor hendaklah dilakukan bagi menggantikan solat Jumaat,” katanya.

Katanya, sebarang majlis ilmu seperti kuliah maghrib, subuh, dan dhuha sama sekali tidak dibenarkan.

“Majlis tahlil dan doa di masjid juga tidak dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, arahan tersebut berkuatkuasa di sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan dengan tertakluk kepada arahan rasmi lain yang dikeluarkan dari semasa ke semasa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya