GUA MUSANG: Sebanyak 3,000 pasang pakaian raya diagihkan kepada golongan asnaf, ibu tunggal dan anak yatim di sini, hari ini.
Pakaian lelaki dan perempuan itu sumbangan orang ramai dari seluruh negara untuk golongan asnaf menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (PEKA GM), Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, tempoh kutipan sumbangan itu diadakan selama 10 hari sejak tiga Ramadan lalu
Katanya, sumbangan yang diterima pihaknya adalah kelengkapan raya seperti baju kurung, baju melayu, samping dan baju-T untuk golongan dewasa dan kanak-kanak.
“Kita telah kumpulkan baju baharu dan terpakai yang boleh digunakan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi.
“Alhamdulillah, sambutan begitu baik apabila golongan asnaf termasuk ibu tunggal dan anak yatim gembira menerima pakaian raya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Semarak Aidilfitri yang diadakan di pekarangan Pusat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas di Bandar Utama, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penerima bantuan pakaian itu, Fatimah Awang, 74, berkata, pengagihan bantuan pakaian itu dapat menjimatkan perbelanjaan terutamanya bagi persiapan menyambut Aidilfitri.
“Saya bersyukur apabila terpilih menerima bantuan itu dan berharap golongan asnaf diberi perhatian berterusan oleh pelbagai pihak.
“Sudah tiga tahun saya tidak membeli pakaian raya kerana terpaksa berjimat cermat untuk perbelanjaan harian,” katanya. – UTUSAN ONLINE