3 kapal Vietnam diusir halang Maritim Malaysia tahan bot nelayan asing

Tiga kapal penguat kuasa Vietnam diusir halang Maritim Malaysia tahan bot nelayan asing

KAPAL penguat kuasa Vietnam Coast Guard  diusir kerana menghalang KM Gemia menahan bot nelayan asing negara itu yang menceroboh perairan negara pada kedudukan 119 ke 120 batu nautika di Kuala Terengganu, Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tiga kapal penguat kuasa Vietnam sanggup menceroboh perairan Malaysia semata-mata untuk menghalang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) daripada menahan tiga bot nelayan asing dari negara itu, Jumaat lalu.

Dalam kejadian berkenaan, kapal penguat kuasa Vietnam Fisheries Resources Surveillance dan Vietnam Coast Guard dilaporkan bertindak agresif dengan menghimpit bot tahanan sekali gus membayangi aset KM Gemia yang menjalankan tugas di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara. 

Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, penguat kuasa tersebut turut meminta KM Gemia melepaskan bot-bot nelayan mereka, namun permintaan itu tidak dilayan berikutan kesalahan besar menceroboh dan merompak hasil laut negara.

“Tindakan cekap dan gigih anggota KM Gemia yang sentiasa tegas menyebabkan aset-aset penguat kuasa Vietnam beredar daripada merapati bot tahanan dan seterusnya keluar dari perairan negara. 

“Tiga bot nelayan Vietnam yang ditahan pada kedudukan 119 ke 120 batu nautika dari Kuala Terengganu itu membawa 19 kru termasuk tekong yang berusia antara 21 hingga 61 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhammad Suffi, turut dirampas ialah kira-kira 1.5 tan hasil laut, 4,500 liter diesel dan peralatan menangkap ikan yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM4.5 juta

Katanya, pemeriksaan mendapati kesemua nelayan asing berkenaan tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Perikanan 1985.

Terdahulu, katanya, dua daripada bot yang ditahan mengalami kerosakan dan terpaksa ditunda KM Gemia dengan perjalanan mengambil masa 55 jam.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Suffi memberitahu, Maritim Malaysia Terengganu berjaya menahan 87 bot nelayan asing bersama 960 kru sepanjang pelaksanaan Op Kuda Laut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN