2,073 pelajar Unisza mula pulang ke kampung - Utusan Malaysia

2,073 pelajar Unisza mula pulang ke kampung

ANTARA 163 penuntut Unisza yang pulang ke kampung masing-masing menggunakan bas isediakan pihak universiti, di Kuala Nerus, Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seramai 2,073 penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) meninggalkan kampus secara berperingkat bermula malam tadi bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri di kampung masing-masing.

Ketua Penolong Pendaftar, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumninya, Mazlan Mohamad berkata, pergerakan pulang kesemua penuntut berkenaan hingga Selasa ini adalah dengan menggunakan perkhidmatan bas dan kapal terbang selain dijemput ahli keluarga.

Katanya, Unisza menyediakan sebanyak 19 bas bagi membawa 660 pelajar ke destinasi mereka mengikut zon ditetapkan iaitu selatan, utara, tengah dan timur.

“Bagaimanapun, kira-kira 700 penuntut yang majoritinya dari Sabah dan Sarawak memilih kekal di kolej kediaman masing-masing sekali gus bakal meraikan Syawal dengan program yang diatur pihak universiti.

“Kita akan memastikan sambutan Aidilfitri golongan pelajar berkenaan tetap meriah walaupun tanpa keluarga di sisi,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, Mazlan mengiringi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unisza, Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh meninjau proses penghantaran pulang kumpulan pertama pelajar yang terdiri daripada 163 orang menggunakan bas.

Sementara itu, seorang pelajar, Nur Adilah Md. Rasid, 21, teruja dibenarkan balik ke kampungnya di Bukit Rambai, Melaka bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

Katanya, keputusan untuk pulang dibuat kerana terlalu rindu kepada kedua ibu bapa dan adik-beradik.

“Terima kasih kepada pihak universiti yang memudahkan urusan kepulangan kami semua ke kampung untuk bersama keluarga di hari raya ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN