GEORGETOWN: Polis menggagalkan percubaan dua lelaki menyeludup kira-kira 105 kilogram (kg) syabu ke negara jiran melalui jalan laut selepas mereka ditahan di sebuah jeti haram di Bagan Bukit Tambun, Simpang Ampat, Seberang Perai dekat sini semalam.
Suspek masing-masing warga tempatan berusia 56 tahun dan warga Indonesia berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 petang hasil operasi Unit Risikan Marin, Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang.
Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, dalam operasi itu sebanyak 100 bungkusan plastik berwarna kuning keemasan yang tertera perkataan Guanyinwang yang mengandungi dadah disyaki syabu seberat 105 kg dirampas.
Katanya, dadah itu disembunyikan di dalam sebuah bot fiber tidak bernombor yang ditambat di jeti haram tersebut.
“Selain dadah itu, bot fiber berkenaan dengan sebuah enjin jenis Yamaha 200HP disita dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM3.83 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Sahabudin, siasatan pihaknya mendapati sindiket berkenaan dipercayai sedang bersedia untuk menghantar dadah berkenaan ke sebuah negara jiran melalui jalan laut menerusi jeti itu.
Jelasnya, siasatan awal juga mendapati sindiket itu telah menjalankan kegiatan berkenaan sejak kira-kira setahun lalu.
“Salah seorang daripada suspek memiliki rekod lampau membabitkan kes mengedar kanabis atau ganja pada 2011,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE