1,758 aduan diterima libat Program PenjanaKerjaya - Utusan Malaysia

1,758 aduan diterima libat Program PenjanaKerjaya

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima 1,758 kes aduan setakat semalam melibatkan bayaran meragukan dan isu bayaran gaji pekerja oleh majikan bagi memohon insentif kewangan Program PenjanaKerjaya.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,231 kes aduan didapati tidak berasas manakala sebanyak 340 kes disyaki tuntutan palsu dan salah guna.

Katanya, baki 187 kes pula ia masih dalam siasatan untuk tindakan selanjutnya.

“Perkeso juga menerima sejumlah RM85.1 juta melibatkan lebih 8,000 majikan yang gagal memenuhi syarat-syarat ditetapkan di bawah Program Subsidi Upah,” jelasnya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya hari ini.

Saravanan berkata, majikan terbabit membuat bayaran balik kepada Perkeso dan pihaknya memandang serius isu tersebut sekali gus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang membuat tuntutan palsu.

“Saya juga mengarahkan Perkeso untuk meminta majikan memulangkan semula semua wang yang dibayar kepada majikan tersebut sekiranya terdapat sebarang unsur pemalsuan,” katanya.

Beliau berkata, Perkeso juga mengesan satu video mendakwa kewujudan sindiket melibatkan sebuah syarikat yang dituduh menggunakan data pekerja untuk mendapatkan insentif PenjanaKerjaya 2.0.

Katanya, video tersebut memaparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, Kamache Doray Rajoo.

“Saya dimaklumkan Perkeso telah meneliti dakwaan berkenaan dan hasil siasatan awal mendapati terdapat majikan yang tidak bertanggungjawab dan mencuba untuk membuat permohonan palsu Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan di bawah Program PenjanaKerjaya 2.0.

“Rekod Perkeso mendapati caruman pekerja dibayar oleh majikan namun ia adalah satu taktik yang diguna pakai bagi mematuhi syarat kelayakan dalam permohonan program tersebut,” katanya.

Tambahnya, majikan juga didapati membuat penipuan dokumen setelah borang pengesahan diterima oleh pegawai Perkeso dengan 36 orang pekerja menandatandatangani dan mengesahkan bahawa mereka masih bekerja di syarikat terbabit.

“Kes ini kini dalam siasatan Anti-Fraud, Cawangan Etika dan Pematuhan dan sekiranya perlu dirujuk kepada agensi penguat kuasa.

“Perkeso juga menasihatkan Kamache untuk membuat laporan polis dengan kadar segera untuk siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, bekas Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran dalam satu kenyataan mendakwa terdapat penyalahgunaan maklumat peribadi pekerja dan tuntutan palsu oleh pihak majikan bagi memohon insentif kewangan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi menerusi Program PenjanaKerjaya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya