PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan 119 kes Covid-19 dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai varian yang dibimbangi (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 105 kes jangkitan dalam negara manakala 14 kes jangkitan import, dengan 104 kes adalah VOC dan 15 kes VOI.
“Kes VOC melibatkan 89 kes varian B.1.351 iaitu kes jangkitan dalam negara, sembilan kes varian B.1.1.7 iaitu lima kes import dan empat kes dalam negara serta enam kes varian B.1.617 iaitu jangkitan import.
“Bagi kes VOI yang dilaporkan pula seperti 12 kes varian P.3 iaitu jangkitan dalam negara serta tiga kes varian B.1.525 jangkitan import,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, berdasarkan bilangan kes positif dengan VOC dan VOI mengikut negeri, Selangor mencatatkan 42 kes diikuti Sarawak (20), Kelantan (18), Kuala Lumpur (11), Perak (10), Kedah (7), Pulau Pinang (3), Negeri Sembilan (2), Johor (2), Perlis (2), Labuan (1) dan Sabah (1).
Katanya, Covid-19 jenis VOC terutamanya varian B.1.351 telah dikesan di setiap negeri dan ini menunjuukan penularan lebih meluas dalam komuniti sekurang-kurangnya satu jenis VOC di semua negeri.
“Memandangkan VOC didapati mempunyai kadar kebolehjangkitan lebih tinggi, situasi ini perlu diambil serius setiap individu. Sekiranya rantaian jangkitan penularan tidak diputuskan, ia akan terus merebak dan lebih sukar bagi kita untuk terus membendung peningkatan kes Covid-19.
“Tempoh dua minggu ini amat kritikal bagi memutuskan rantaian jangkitan dan ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Tambahnya, selain itu, pihak KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik, memperbanyakkan ujian saringan, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan pelbagai varian dalam komuniti. – UTUSAN