BALING: Sebanyak 11 individu termasuk seorang wanita dikenakan kompaun kerana merentas daerah tanpa kebenaran di Kampung Kuala Lesong, Kuala Ketil dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsuddin Mamat berkata, mereka ditahan polis yang melakukan pemantauan secara bergerak di kawasan sempadan daerah Baling dan Kuala Muda dalam Op Khas Rentas antara pukul 5 petang hingga 7.20 malam.
Menurutnya, kesemua individu tersebut yang berusia antara 19 hingga 40 tahun itu dikompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang.
“Beberapa individu yang melalui jalan tersebut diperiksa untuk memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk mempunyai surat kebenaran rentas daerah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, tindakan kompaun itu diambil mengikut Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) kerana merentas daerah tanpa kebenaran pihak berkuasa.
“Kita mohon kerjasama orang awam supaya patuh pada arahan kerajaan untuk sama-sama mengekang kes penularan wabak Covid-19 yang masih tinggi.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas orang awam yang masih degil melanggar SOP yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE