PETALING JAYA: Yayasan KRU akan memberi latihan jangka pendek dan sumbangan barangan teknologi maklumat bagi memperkasakan ilmu dan ekonomi belia terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) menerusi program Kita Jaga Kita pada 1 Jun tahun ini.
Presiden Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kru, Datuk Norman Abdul Halim berkata, dengan menggunakan barangan teknologi maklumat yang diberikan, penerima manfaat diwajibkan mengambil kursus-kursus latihan pendek secara dalam talian dalam bidang kemahiran berkaitan industri kreatif dan pemasaran digital.
“Sejajar dengan visi kerajaan di dalam Wawasan Kesejahteraan Bersama 2030, golongan belia harus bersedia untuk mencipta peluang ekonomi dengan cara baharu khususnya melalui platform digital yang berteraskan kemahiran berkaitan industri kreatif.
“Seterusnya, para pelatih juga akan dibimbing menjadi pempengaruh, memulakan perniagaan atau memajukan perniagaan masing-masing melalui kerjasama strategik dengan platform digital dan e-dagang. Kami percaya program ini akan memberi impak tersendiri khususnya mengubah nasib golongan belia B40 bagi membantu keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut beliau, Yayasan KRU sebelum ini menjalinkan banyak kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, menaja pelatih melalui program biasiswa dan menjalankan program-program kesedaran awam seperti Contentpreneur dan Kreatif X-Press.
Tambahnya, sebagai persediaan pra-pelancaran akan datang, beliau menjemput orang ramai untuk menjadi sukarelawan dengan hanya mendaftarkan diri melalui laman sesawang Yayasan KRU.
“Sukarelawan hanya perlu membantu Yayasan KRU memuat baik dan berkongsi bahan-bahan hebahan program ini melalui platform media sosial masing-masing.
“Ini termasuklah lagu tema dan video muzik Kita Jaga Kita nyanyian artis-artis tempatan sekali gus meningkatkan lagi kesedaran pelbagai pihak bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN