ALOR GAJAH: Seorang wanita menulis dan meninggalkan sepucuk surat di papan pemuka keretanya untuk polis, sebelum mayatnya ditemukan di dalam kenderaan itu di sebuah kebun sawit di Jalan Kolam, Machap Baru, di sini hari ini.
Mayat wanita berusia 43 tahun itu ditemukan orang awam kira-kira pukul 10 pagi tadi sebelum memaklumkan kejadian tersebut kepada polis.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kehadiran anggota polis di lokasi mendapati mayat wanita tersebut berada di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dan kenderaan itu berkunci.
Katanya, pintu kereta itu dibuka dengan bantuan pasukan bomba dan mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira dua hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah membengkak.
“Pemeriksaan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menjumpai sepucuk surat di papan pemuka MPV itu menyatakan “To : Police Man Tolong Hubungi Miss Peggy Chek dan dia akan pergi ke rumah saya untuk membawa anak perempuan saya untuk urusan kematian saya”.
“Pemeriksaan kad pengenalan juga mendapati si mati adalah orang hilang yang dilaporkan pada 28 April lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut pada badan mangsa tidak menjumpai apa-apa kesan berunsur jenayah.
“Mangsa meletakkan kenderaannya kira-kira 800 meter dari jalan besar ke tempat kejadian.
“Pasukan forensik juga menjumpai satu balang yang mengandungi abu arang disyaki dibakar oleh si mati di tempat duduk hadapan penumpang, selain makanan dan minuman arak yang disyaki diminum mangsa sebelum mati,” ujarnya.
Jelasnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE