Vaksinasi pekerja Genting Highlands: Di mana rakyat negeri Pahang?

Vaksinasi pekerja Genting Highlands: Di mana rakyat negeri Pahang?

ZULKIFLI MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang memandang serius kenyataan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa sekumpulan pekerja syarikat Kumpulan Genting yang menerima vaksinasi Covid-19 bukan atas arahannya. 

Amanah Pahang berpandangan bahawa, sekalipun pemberian vaksin tersebut bukannya arahan menteri berkenaan, hakikatnya vaksin tersebut telah pun diberikan kepada golongan terbabit.

Pengerusi Negeri Amanah Pahang, Zulkifli Mohamed berkata, sepatutnya kerajaan negeri melalui Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Pahang perlu memberi keutamaan kepada rakyat Pahang lain yang lebih terdedah dan berisiko dijangkiti yang nyata lebih memerlukan vaksinasi berkenaan.

Beliau berkata, antara golongan yang perlu diberikan keutamaan adalah seperti guru, pelajar, warga emas, petugas barisan hadapan yang masih belum menerimanya di negeri ini.

“Berapa ramai yang terpaksa menunggu dipanggil setelah pendaftaran, namun secara tiba tiba, kerajaan mengakui bahawa pekerja Kumpulan Genting telah diberi keutamaan mendapatkan suntikan. 

“Apa kelebihan industri Kumpulan Genting ini kepada negara serta negeri Pahang sehingga sebegini istimewa layanan diberikan? Umum mengetahui bahawa Kumpulan Genting adalah industri terkait dengan industri perjudian kasino negara ini.

“Apakah industri perjudian ini lebih penting beroperasi dari ekonomi rakyat yang semakin menjunam, sektor pendidikan yang semakin hancur mahupun kedudukan sektor pekerjaan rakyat Pahang yang semakin tidak menentu?,” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Rabu lalu, Khairy menafikan dakwaan beliau mengeluarkan arahan supaya sejumlah pekerja syarikat Kumpulan Genting Berhad diberikan vaksinasi Covid-19 seperti yang tular dalam laman sosial. 

Khairy berkata, CITF Persekutuan hanya mengetahui tentang keputusan CITF negeri Pahang memberikan vaksin kepada pekerja-pekerja di sektor pelancongan di negeri itu selepas mereka memulakan vaksinasi kepada kumpulan tersebut. 

Zulkifli berkata, Amanah Pahang hairan bagaimana Pas yang mendokong kerajaan Barisan Nasional (BN) Pahang terus membisu dalam membela rakyat yang lebih memerlukan suntikan vaksinasi ini, di saat sektor pekerja industri perjudian pula diberikan keutamaan.

“Amanah Pahang mengutuk sekeras kerasnya tindakan ini dan mengutuk tindakan tidak sensitif kerajaan khususnya kerajaan negeri Pahang terhadap kepentingan rakyat terbanyak berbanding kepentingan kumpulan tertentu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya