Vaksin Covid-19 kekang penularan varian bermutasi 

Vaksin Covid-19 kekang penularan varian bermutasi 

HISHAMSHAH MOHD. IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemberian vaksin Covid-19 yang digunakan kepada penerima berupaya mengekang penularan varian bermutasi di negara ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr. Hishamshah Mohd Ibrahim.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan termasuk Institut Penyelidikan dan Perubatan (IMR) dan beberapa institusi yang berkaitan turut sama memantau perkembangan baharu varian bermutasi.

“Pemberian suntikan vaksin Covid-19 menghalang kematian selain kejadian serius yang memerlukan seseorang tersebut masuk ke hospital selepas dijangkiti Covid-19. 

“Kita sentiasa memantau dan melihat perkembangan baharu varian ini. Justeru, pihak IMR dan institusi lain turut menjalankan penjujukan genom bagi mengesan varian bermutasi tersebut,” katanya pada sesi libat urus bersama media mengenai vaksin Covid-19 di sini hari ini. 

Berikutan itu, beliau berkata, masyarakat juga perlu sentiasa berwaspada serta mengamalkan prosedur operasi standard yang telah ditetapkan bagi mengelakkan varian bermutasi dari negara lain turut menular dalam kalangan rakyat di negara ini.

Sementara itu, Ketua Unit Virologi Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit (IDRC) Institut Penyelidikan dan Perubatan (IMR), Dr Ravindran Thayan berkata, penularan varian bermutasi turut memberi sedikit kesan kepada suntikan vaksin. 

“Mutasi varian ini memberi sedikit halangan, maksudnya antibodi yang dijangkiti varian ini memerlukan lebih banyak (vaksin) banding sedia ada. 

“Bukannya kita nak kata vaksin itu tidak berkesan, tapi ia perlu menghasilkan antibodi yang lebih tinggi untuk mengurangkan kadar varian berkenaan.

“Kita juga mengharapkan sistem ketahanan badan untuk melawan varian tersebut. Bukan tak ada langsung kesan vaksin, tetapi vaksin turut memberikan perlindungan,” katanya. 

Sebelum ini, KKM mengesan beberapa varian baharu di negara ini antaranya, varian Afrika Selatan B.1.351 yang mempunyai pelbagai mutasi antaranya ‘spike protein’ termasuk L18F, D80A, D614G, D215G, A701V, K417N, E484K, N501Y dan L241_A243del. 

Selain itu, varian lain turut dikesan ialah dari United Kingdom (UK) iaitu UK B.1.1.7 dan varian Nigeria SARS-CoV-2. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya