Vaksin AstraZeneca diteruskan di negara ini - Utusan Malaysia

Vaksin AstraZeneca diteruskan di negara ini

ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) memutuskan vaksin AstraZeneca tetap diteruskan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat jawatan kuasa itu di sini pagi ini dengan turut mengambil kira pelbagai perkara.

“Kita tetap akan meneruskan (AstraZeneca) kerana data klinikal yang ada menjurus vaksin ini mempunyai banyak manfaat kepada penerima berbanding memberi kemudaratan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Tandatangan Nota Kerjasama Antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Ahad lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, mesyuarat JKJAV pada hari ini akan memutuskan kesesuaian vaksin itu.

Ia susulan laporan badan kawal selia perubatan di Britain mengesahkan tujuh daripada 30 individu yang mengalami pembekuan darah setelah disuntik AstraZeneca meninggal dunia selain beberapa negara Eropah turut mengambil keputusan menghentikan sementara imunisasi vaksin itu walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan ia masih selamat.

Mengulas lanjut, Adham berkata, mesyuarat JKJAV yang dipengerusikan beliau bersama Khairy turut mengambil maklum pelbagai elemen dan faktor daripada kes di luar negara.

“Justeru, kita memutuskan untuk tetap menggunakan AstraZeneca dalam program vaksinasi di seluruh negara kerana ia terbukti tidak berbahaya kepada penerimanya,” kata beliau lagi.

Kerajaan sudah menempah 6.4 juta dos vaksin itu yang dihasilkan dari kilangnya di Thailand selain 1.4 juta dos lagi menerusi Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax) digerakkan WHO.

Malaysia menerima stok sebanyak 66.7 juta dos daripada lima pengeluar termasuk Pfizer-BioNTech dari Amerika Syarikat, Sinovac dan Cansino dari China serta Sputnik V dari Rusia. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya