Utamakan guru sebagai penerima vaksin dalam pelaksanaan PICK fasa kedua - Utusan Malaysia

Utamakan guru sebagai penerima vaksin dalam pelaksanaan PICK fasa kedua

JAGDEEP Singh Deo (kanan) ketika menjalankan tinjauan SOP pencegahan Covid-19 di Sekolah Menengah Persendirian Han Chiang, Datok Keramat, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kumpulan guru dan pendidik perlu diberi keutamaan sebagai penerima vaksin Covid-19 dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini memasuki fasa kedua.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, perkara itu wajar memandangkan sekolah-sekolah telah dibuka semula sekali gus bagi memastikan persekitaran sekolah selamat serta bebas daripada wabak Covid-19.

“Guru-guru adalah wira barisan hadapan di sekolah dan mereka wajar diberi keutamaan sebagai penerima vaksin Covid-19 ketika fasa kedua program PICK dijalankan.

“Guru terdedah kepada bahaya penularan wabak Covid-19, jadi, perlu dilindungi dengan memastikan mereka menerima vaksin dengan segera supaya sesi persekolahan menjadi lebih selamat,” katanya selepas melawat Sekolah Persendirian Han Chiang, di sini hari ini.

Lebih dua juta pelajar sekolah menengah memulakan sesi persekolahan kelmarin selepas melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak lebih dua bulan pada 20 Januari lalu.

Sesi persekolahan bersemuka bagi sekolah rendah bermula pada 1 Mac lalu iaitu pelajar prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 manakala pelajar-pelajar Tahun 3 hingga Tahun 6 pada 8 Mac.

Kementerian Pendidikan juga telah menyenaraikan 55,539 guru dari seluruh negara yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 sebagai penerima suntikan vaksin pada fasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurut Jagdeep, pelajar dan guru, malah, ibu bapa juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan wabak Covid-19 di sekolah supaya terhindar daripada wabak berkenaan.

“Kita jangan ambil ringan mengenai SOP terutama di sekolah kerana perjuangan kita untuk menentang Covid-19 masih belum selesai.

“Pada masa ini SOP adalah perkara penting yang mesti dipatuhi oleh semua pihak termasuk ibu bapa yang menghantar dan mengambil anak-anak mereka di kawasan sekolah,”katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, setakat 4 April lalu, pendaftaran penerima vaksin di negeri ini menerusi aplikasi MySejahtera ialah seramai 554,150 orang.

“Jumlah sasaran penerima vaksin untuk kita mencapai imuniti kelompok adalah kira-kira 1.3 juta orang, jadi saya ingin menyeru orang ramai segera mendaftar vaksin untuk kebaikan semua,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya