Usah pandang ringan gangguan seksual di sekolah - Norliza

Usah pandang ringan gangguan seksual – Norliza

NORLIZA ABDUL RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak polis dilihat seolah-olah memandang ringan ugutan seksual terhadap seorang perempuan sedangkan tindakan segera harus diambil oleh Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melindungi serta menyediakan persekitaran selamat untuk kaum wanita.

Ketua Wanita UMNO dan Wanita Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim memberi amaran keras supaya budaya gangguan seksual hendaklah dihentikan serta-merta bermula dari peringkat sekolah dan sistem pendidikan di negara ini.

“Pihak polis perlu memandang serius ugutan seperti ini dan bukannya diremeh-temehkan. Pihak polis mempunyai moral kepolisan untuk menegakkan undang-undang dan memastikan gangguan seksual dinoktahkan.

“Kenyataan Menteri Pendidikan bahawa perkara ini dalam siasatan polis dan enggan mengulas mengenai tindakan lanjut kementerian seolah-olah mencuci tangan dalam kes ini. Kementerian mempunyai kuasa untuk mendisplinkan guru berkenaan bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu adalah untuk menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan perlu mengambil tindakan yang wajar berhubung isu gurauan seksual seorang guru jasmani yang mempersendakan jenayah seks dalam kelas.

Tambah Norliza, gurauan yang membawa unsur seks tidak sama sekali boleh dibenarkan dalam sistem pendidikan kita, lebih-lebih lagi antara guru dan pelajar di dalam waktu pengajaran dan pembelajaran.

“Kita tidak harus membiarkan kejadian seperti ini berulang di mana-mana institusi pendidikan kita. Kementerian Pendidikan perlu bertindak tegas dengan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang memandang ringan kejadian seperti ini termasuk guru yang menggunakan gurauan seks dalam mana-mana proses pengajaran dan pembelajaran.

“Budaya yang mendiskriminasikan wanita dan perempuan perlu dikikis daripada sistem pendidikan kita. Tanpa tindakan yang tegas, perkara seperti ini akan berulang tanpa henti dan mungkin menjadi lebih parah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya