Undi 18: Kerajaan bantah permohonan 18 anak muda

Undi 18: Kerajaan bantah permohonan 18 anak muda dapatkan kebenaran semakan kehakiman

SHAMSUL Bolhassan (tengah) dan Azizan Md. Arshad (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pendengaran permohonan 18 anak muda bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman. - FOTO/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengemukakan bantahan awal di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap permohonan 18 anak muda untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman agar kerajaan melaksanakan Undi 18 secara automatik.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Shamsul Bolhassan berkata, bantahan awal tersebut dibuat atas alasan permohonan yang dikemukakan oleh 18 orang anak muda yang mewakili gerakan Undi 18 itu adalah pramatang dan remeh.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid kemudian menetapkan 6 Mei ini bagi mendengar bantahan awal itu dan permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh pemohon. Selain Shamsul, SFC Azizan Md. Arshad turut hadir mewakili kerajaan.

Hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar permohonan 18 anak muda itu bagi mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman dalam usaha mendapat perisytiharan agar Undi 18 dijalankan secara automatik.

Namun demikian, salah seorang peguam yang mewakili pemohon, Datuk Gurdial Singh Nijar berkata, oleh kerana AGC mengemukakan bantahan awal, pemohon memerlukan masa untuk memgemukakan hujahan balas terhadap bantahan awal itu. Turut mewakili pemohon, Datuk S. Ambiga, Abraham Au dan Lim Wei Jiet.

Pada 2 April lalu, 18 orang anak muda yang mewakili gerakan Undi18 memfailkan semakan kehakiman terhadap Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menuntut dua perisytiharan daripada mahkamah.

Perisytiharan itu bahawa tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan penurunan umur pengundi daripada 21 ke 18 adalah tidak rasional, tidak sah, tidak berpatutan dan merupakan pencabulan hak pengundi.

Mereka juga menuntut perisytiharan bahawa pengundi berumur 18 ke 20 tahun berhak mengundi menjelang Julai 2021.

Mereka mendakwa keputusan kerajaan untuk menangguhkan penguatkuasaannya tidak munasabah kerana ia menafikan hak mereka sebagai pengundi menjelang bulan itu.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh menjangkakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022, sekali gus menyaksikan ia tidak sempat dilaksanakan pada Julai tahun ini sepertimana jangkaan awal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya