PORT DICKSON: Sudah menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan melaksanakan usia kelayakan mengundi 18 tahun kerana ia diluluskan Dewan Rakyat lebih satu setengah tahun yang lalu.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan akan mengusahakan agar perkara itu dilaksanakan dalam tempoh terdekat disifatkan sebagai tidak berkaitan.
“Keputusan telah dibuat dan diluluskan lebih satu setengah tahun yang lalu. Jadi tiada kaitan dengan apa menteri ini (Takiyuddin) ini katakan kerana arahannya adalah untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan. Kalau mereka tidak mampu, sepatutnya mereka tidak boleh meneruskan tanggungjawab ini dan menyerahkan orang lain yang mampu.
“Satu setengah tahun itu masa yang cukup untuk mengendalikan Undi 18 dan keputusan sebulat suara di Parlimen. Walaupun ada parti sama ada dia lupa atau tidur masa sidang Parlimen itu kerana perbahasan itu terbuka dan keputusan itu dipersetujui semua ahli Parlimen,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Peluncuran Aplikasi Tuisyen Percuma Port Dickson di Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, dekat sini hari ini.
Takiyuddin menerusi satu kenyataan hari ini memberitahu, kerajaan komited melaksanakan umur Kelayaan Pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada 2019.
Ujarnya, hal berkenaan telah dibincangkan dan disahkan dalam Mesyuarat Kabinet semalam dan akan diusahakan agar dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, mengulas mengenai keputusan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Anwar yang juga Ketua Pembangkang berpendapat, ia sewajarnya dibahaskan terlebih dahulu di pelbagai peringkat.
Jelas beliau, keputusan Kementerian Pendidikan tersebut meragukan beliau sama ada mengambil kira kesan jangka pendek dan jangka masa panjang.
“Pengalaman saya di Kementerian Pendidikan dahulu pun, keputusan-keputusan begini dibahas secara menyeluruh terlebih dahulu. Kita panggil wakil ibu bapa, tokoh-tokoh pendidikan dan masyarakat untuk bincang, perbahasan secara terbuka dengan banyak pihak sebelum kita ambil keputusan.
“Setiap keputusan, melibatkan dasar utama dalam Kementerian Pendidikan mesti dibahaskan di banyak peringkat. Ini bukan soal menteri dan beberapa orang pakar, mesti tanya ibu bapa, guru-guru, pakar-pakar pendidikan dalam pelbagai bidang dan selalunya dibahaskan secara lebih terbuka, kemudian ambil keputusan, jalanlah,” katanya. – UTUSAN ONLINE