UMNO tak pernah ‘tutup mulut’ ahli bersuara - Utusan Malaysia

UMNO tak pernah ‘tutup mulut’ ahli bersuara

Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan perwakilan UMNO yang menghadiri program Bangkit 15 di Hotel LaCrista, Jalan Hang Tuah, Melaka. – mingguan/Rasul Azli Samad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Semua ahli berhak menyuarakan pandangan berhubung hala tuju parti termasuklah menzahirkan desakan supaya Presiden berundur.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, UMNO tidak perlu ‘menutup mulut’ sesiapa yang mengutarakan pendapat.

Beliau berkata, ini kerana suara-suara yang mendesak pengunduran Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berundur juga bukanlah perkara baharu, kerana situasi sama juga pernah berlaku sebelum ini.

“UMNO ini merupakan parti yang mengamalkan demokrasi. Setiap ahli berhak untuk menyuarakan pandangan mereka. Jadi kita tidak boleh menegah ahli kita untuk bersuara.

“Jadi seperti biasa, ini bukan perkara baharu. Ahli bersuara ini daripada dulu. Apa pandangan mereka kita perlu dengar, mungkin ada yang betul ada yang tidak betul.

“Tapi kita tidak boleh menutup mulut sesiapa daripada segi memberikan pandangan. Jadi kalau ada pandangan seperti itu, kita meraikan setiap pandangan yang dikeluarkan ahli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan kelompok-kelompok tertentu yang meminta Ahmad Zahid berundur susulan tularnya rakaman audio yang didakwa perbualan telefon di antara Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab dan tidak layak untuk terus memegang jawatan tersebut sekiranya pendedahan audio antara dirinya dan Anwar didapati tulen.

Veteran UMNO itu berkata, banyak pihak terutama ahli-ahli UMNO meletakkan harapan tinggi terhadap Ahmad Zahid untuk memimpin parti itu dengan baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya