PETALING JAYA : DAP perlu dijadikan contoh sebagai parti konsisten yang tidak mendesak pemimpin meletak jawatan walaupun ada dalam kalangan mereka dikaitkan dengan kes mahkamah.
Mengambil contoh kes Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum ini, majoriti pemimpin dari parti itu hanya mendiamkan diri tanpa ada desakan untuk berbuat demikian.
Malah, ramai pemimpin DAP dilihat hadir ke mahkamah sebagai tanda sokongan kepada Guan Eng berbanding UMNO yang rata-ratanya kini mula bersuara lantang menyelar pemimpin sendiri.
Bagi Profesor Madya di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, apa yang berlaku dalam UMNO pada masa kini lebih kepada krisis keyakinan untuk memulihkan institusi kepimpinan supaya diterima rakyat.
Katanya, perbezaan pendapat pelbagai pihak dalam UMNO dan BN sepatutnya diselesaikan secara berhemah dan menggunakan saluran betul demi menjaga nama baik parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
“Soal (pemimpin ) bersalah atau tidak itu hak mahkamah yang menentukan. Tetapi parti perlu mengurus persepsi rakyat yang melihat mereka (parti) tidak serius dalam menangani isu salah laku dan rasuah.
“Mungkin desakan itu perlu tetapi secara berhemah untuk menjaga kesinambungan parti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Izani berkata, walaupun ada pemimpin UMNO yang masih menerima sokongan walaupun telah didapati bersalah, parti perlu mengutamakan imej parti dan bukan hanya melihat kepada individual semata-mata.
Kelmarin bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata, mana-mana pemimpin UMNO yang berdepan pertuduhan mahkamah harus berehat daripada parti atau meletak jawatan kerana meninggalkan tanggapan buruk dalam kalangan rakyat.
“ Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memang di Pekan tapi memberi kesan kepada BN dan UMNO dalam pilihan raya. UMNO perlu ditanya, nak Najib menang saja ke atau mahu parti menang ?” jelasnya.
Dalam pada itu, Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, desakan yang timbul pada masa kini memberi gambaran wujud gerakan dalam UMNO untuk menumbangkan kepimpinan sedia ada.
“Ini berlaku selepas UMNO memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Apabila pemimpin itu masih dapat sokongan tidak akan berlaku desakan.Kini jelas UMNO parti yang telah berpecah.
“Adalah lebih baik UMNO perlu buat pemilihan untuk mneyelesaikan isu yang berlaku pada masa sekarang. Jika diterima akar umbi, tidak kira sama ada pemimpin itu disabitkan kes atau tidak, mereka (pemimpin ) perlu di terima,” ujarnya. -UTUSAN