PETALING JAYA: UMNO akan mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung perjalanan pemilihan parti pada tahun ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada Ketua Pengarah MKN dan ROS bagi meminta nasihat dan pandangan mereka untuk UMNO mengadakan pemilihan parti selaras peraturan dan perlembagaan parti serta SOP Covid-19.
“Ini bagi memastikan proses pemilihan parti yang bakal melibatkan mesyuarat perwakilan UMNO cawangan-cawangan termasuk sayap-sayap wanita, Pemuda, dan Puteri berjumlah 66,287 mesyuarat di semua 191 bahagian dengan melibatkan 3.3 juta ahli dapat dijalankan dengan berkesan dan lancar.
“Ia mengambil kira jumlah jangkitan Covid-19 yang meningkat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ahmad menambah, perkara itu diputuskan dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat semalam.
Sementara itu, Ahmad berkata, MT UMNO mengesyorkan kerajaan agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat kembali bersidang selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan agar kedua-dua institusi itu boleh bersidang sepanjang tempoh darurat.
Katanya, antara rasional utama yang perlu dipertimbang dalam perkara tersebut adalah kerajaan tidak boleh dilihat cuba memandulkan amalan demokrasi berparlimen.
“Parlimen dan DUN adalah medan semak dan seimbang di dalam kalangan wakil-wakil rakyat agar kerajaan tidak melakukan sebarang tindakan sesuka hati sehingga membelakangkan kepentingan dan kebajikan rakyat hari ini yang berdepan dengan kesukaran dan kesempitan melibatkan ekonomi, pengangguran, kos sara hidup dan harga barang semakin meningkat.
“Selain mesti ada akuantabiliti terhadap segala aspek kewangan negara termasuklah perbelanjaaan wang rakyat, peningkatan hutang negara yang melangkaui 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu bertentangan dengan Akta Hutang Negara yang diluluskan di Parlimen.
“Malah ia membabitkan penggunaan buat kali pertama dalam sejarah Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang merupakan benteng terakhir negara untuk menghadapi keadaan sekiranya sumber asli negara kehabisan,” katanya.
Beliau menegaskan adalah perlu mengadakan persidangan Parlimen dan DUN kerana keyakinan dan kepercayaan pelabur luar akan terus terhakis sekiranya amalan demokrasi berparlimen digantung sehingga tiada aspek ‘good governance’ (tadbir urus terbaik) membabitkan aspek semak dan seimbang dalam kerajaan.
“SOP khas harus dibangunkan bagi membolehkan persidangan Parlimen dan DUN dilakukan sebagaimana amalan negara-negara lain,” ujar beliau.
Dalam perkembangan lain Ahmad menambah, MT juga mendesak melalui menteri-menteri kabinet UMNO agar kerajaan segera menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan kandungan buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang bertajuk ‘My Stori: Justice In The Wilderness’. – UTUSAN