MELAKA: Penyanyi terkenal, Zamani Slam mendedahkan sedang mendapatkan khidmat rawatan tradisional sebagai ikhtiar untuk merawat masalah tulang belakangnya yang semakin membengkok.
Pelantun lagu popular Gerimis Mengundang itu berkata, perubahan keadaan fizikalnya itu semakin ketara dan tidak dapat disorokkan lagi, namun setakat ini dia masih boleh mampu membuat persembahan tanpa sebarang masalah.
“Para peminat dan penonton memang akan perasan perubahan keadaan fizikal saya, memang ketara dan saya memang tidak boleh nak sorok.
“Tapi selagi tidak menganggu kerja saya, selagi tu saya akan teruskan menyanyi dan membuat persembahan,” katanya ketika ditemui selepas majlis promosi Program Ihya’ Nurani Kasih Ramadan bersama Zamani dan The Siblings Band pada 1 Mei ini di Hotel LaCrista Melaka.
Mengulas lanjut, pemilik nama sebenar Zamani Ibrahim, 50, itu berkata, dia juga kini melakukan rawatan alternatif termasuk perubatan secara tradisional dan penggunaan katil Ceragem.
“Sambil mendapatkan rawatan profesional, saya ada berubat jugalah sebab saya takut masalah tulang belakang ni jadi teruk sampai tidak boleh bekerja, itu masalah.
“Setakat ni Alhamdulillah, cuma saya tidak boleh aktif sangat atas pentas. Sekarang saya pun ada katil Ceragem di rumah, baru je pakai. Jadi, kita tengoklah dulu macam mana setakat mana ia boleh membantu tulang saya,” katanya.
Menurut Zamani, dia sudi berkongsi keadaan kesihatannya itu agar peminat tidak risau atau tertanya-tanya perubahan ketara fizikalnya dan mengharapkan agar orang ramai dapat mendoakan tulang belakangnya menunjukkan perkembangan positif.
Dalam perkembangan lain, Zamani turut memberitahu, dia bersama-sama Slam sedang dalam perancangan untuk mengadakan konsert sempena 25 tahun kumpulan Slam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada tahun ini.
Terdahulu, pada Majlis 1 Mei itu nanti, Zamani akan menyampaikan 12 lagu hits dengan diiringi muzik daripada kumpulan The Siblings.
Harga tiket untuk persembahan itu mula dijual semalam pada harga RM250 seorang, manakala jualan meja antara RM3,000 hingga RM5,000. Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi 012-611 8595 atau layari laman sesawang www.lacrista.com.my. – UTUSAN