ARAU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setuju dengan Pas mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dengan menyertai pakatan baharu, Perikatan Nasional (PN) yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.
Dalam masa masa, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan turut bersetuju dengan penegasan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar menolak politik yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya tanpa menghiraukan rintihan rakyat.
Katanya, dalam suasana hari ini, keikhlasan dan kejujuran untuk menyantuni dan membantu rakyat adalah menjadi keutamaan bukan retorik lakonan seolah-olah ikhlas dan jujur, tetapi sebenarnya hanya mahu membolot kuasa untuk kepentingan diri sendiri.
“Saya menyambut baik pandangan Abdul Hadi terutama apabila beliau menyatakan Pas mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, PN bersama-sama Bersatu yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.
“Pandangan Presiden Pas ini memang tepat sekali bahawa teras pentadbiran kerajaan PN adalah integriti. Kita tidak mahu pengalaman buruk negara berulang, tatkala banyak institusi pentadbiran dirosakkan oleh rasuah dan salah guna kuasa tidak lama dahulu,” katanya di sini hari ini.
Kelmarin, Abdul Hadi memberi bayangan akan meninggalkan Muafakat Nasional (MN) kerana mendakwa ia sudah menyeleweng dari matlamat asas sebalik meminta semua menyertai Perikatan Nasional.
Abdul Hadi dilaporkan berkata, jika mahu menyelamatkan negara semua kumpulan Islam mesti menyertai pakatan baharu, PN bersama-sama dengan Bersatu yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.
Dalam kenyataan di Facebook, Abdul Hadi berkata, mereka juga bersama golongan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi menyelamatkan negara, tanpa menghabiskan masa.
“Pas menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional yang asal. Matlamat untuk masuk ke medan perjuangan bagi membela umat dalam satu negara dengan melibatkan semua golongan atas asas Perlembagaan yang merdeka dan berdaulat.
“Pas menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat kepada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini,” kata Abdul Hadi dalam kenyataan itu.
Tambah Wan Saiful, Bersatu ditubuhkan untuk menjadi sebuah parti baharu Melayu yang memperjuangkan integriti, tadbir urus yang baik, pembenterasan rasuah, salah guna kuasa, serta menjamin kebebasan sistem kehakiman serta perundangan negara.
“Maka penekanan yang diberikan oleh Presiden Pas itu adalah amat tepat dan amat sesuai,” katanya.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, UMNO telah menetapkan pendirian memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). – UTUSAN ONLINE