Tindakan undang-undang terhadap penjawat awam terlibat antivaksin

Tindakan undang-undang terhadap penjawat awam terlibat gerakan antivaksin

MOHD. ZUKI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penjawat awam di negara ini diingatkan supaya tidak terbabit dengan gerakan atau kumpulan penghasut antivaksin jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, mereka yang terbabit dalam gerakan antivaksin boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, penjawat awam diminta supaya tidak menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada masyarakat awam.

“Tindakan itu mungkin terdorong seseorang itu melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau menjejaskan keselamatan dan boleh diambil tindakan. Saya berharap Program Imunisai Covid-19 Kebangsaan (PICK) dapat membantu membasmi wabak ini seterusnya membolehkan kita semua kembali kepada norma kehidupan yang lebih kondusif dan sejahtera. 

“Saya juga sekali lagi mengajak semua penjawat awam untuk mendaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera seterusnya menjayakan program vaksinasi ini secara keseluruhannya,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini. Teks ucapan Mohd. Zuki dibacakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman.

Seramai 189 orang warga JPM terdiri daripada 23 jabatan dan agensi di bawah JPM yang telah memberi sumbangan cemerlang sepanjang tahun lalu menerima APC 2020.

Mohd. Zuki berkata, beliau turut mengajak penjawat awam supaya beristiqamah dalam melawan wabak Covid-19 ini. 

“Saya percaya jika kita semua dapat memainkan peranan masing-masing dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, kita akan dapat melalui fasa tempoh darurat ini dengan jayanya. Sentiasa menjaga penjarakan sosial dan patuhilah semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Zuki berkata, perubahan landskap semasa global dan negara berikutan  penularan pandemik Covid-19 menyaksikan banyak sektor di negara ini terjejas.

“Situasi ini turut menyebabkan penjawat awam berhadapan dengan cabaran dalam menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Namun demikian, perkara ini perlu dilihat sebagai peluang kepada kita semua dalam mengubah cara kerja konvensional kepada kaedah baharu sesuai dengan situasi semasa dan norma baharu.

“Begitu juga perkhidmatan yang disampaikan  memerlukan satu tindakan yang lebih tersusun dan teratur dengan tidak sekali-kali mengabaikan SOP di setiap peringkat,” katanya.

Katanya lagi, penjawat awam perlu terus bersedia mendepani pelbagai cabaran walaupun di luar jangkaan dan cuba menanganinya sebaik mungkin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN