Tindakan Nik Faisal diketahui Najib - Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc

Tindakan Nik Faisal diketahui Najib – V. Sithambaram

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa pemegang mandat akaunnya, Nik Faisal Ariff Kamil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn. Bhd. telah bertindak tanpa pengetahuannya dan menyalahguna akaun peribadi bekas Perdana Menteri adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V. Sithambaram, Najib tidak boleh mengatakan beliau langsung tidak mengetahui semua transaksi yang berlaku pada akaun-akaun peribadinya bagi mengelakkan sebarang liabiliti.

Ujarnya, adalah ‘trite law’ (undang-undang yang mantap dan biasanya tidak dipertikai) bahawa mana-mana pelanggan bank perlu mengetahui apa yang berlaku pada akaun masing-masing dan dakwaan Najib bahawa beliau langsung tidak mempunyai sebarang pengetahuan adalah tidak berasas.

“Dakwaan perayu (Najib) bahawa Nik Faizal tidak mempunyai mandat atau tidak boleh dipercayai adalah tidak berasas. Perlu diingatkan bahawa Najib masih mengekalkan Nik Faisal sebagai pemegang mandat akaunnya sehinggalah akaun tersebut ditutup. 

“Tidak boleh diterima bahawa Nik Faisal bertindak tanpa pengetahuan Najib sedangkan perayu sendiri yang mengekalkan Nik Faisal sebagai pemegang mandat walaupun lelaki berkenaan telah diberhentikan daripada SRC International atas salah laku kewangan,” katanya.

Tambah Sithambaram, berdasarkan keterangan dan bukti yang dikemukakan ke mahkamah, jelas menunjukkan bahawa Najib ‘mengawal minda’ SRC International melalui Nik Faisal yang menjalankan segala arahannya.

“Responden (pendakwa) menghujahkan, kedudukan Nik Faisal sebagai pemegang mandat akaun peribadi Najib di Ambank adalah bukti terbaik yang menunjukkan hubungan saling mempercayai perayu dengan Nik Faisal. Nik Faisal adalah ‘leftenan’ yang dipercayai perayu. Nik Faisal adalah ‘orang tengah’ Najib dengan Lembaga Pengarah SRC International. Segala tindakan yang dibuat Nik Faisal mendapat restu Najib,” katanya.

Menurut pendakwaan, tiada sebab Nik Faisal yang dikaitkan dengan salah laku kewangan dan disingkirkan daripada jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International dan masih dibiarkan menjadi penandatangan rasmi akaun syarikat itu.

“Terang, jelas dan nyata bahawa Nik Faisal dilantik oleh Najib sebagai CEO SRC International dan menyingkirkannya ekoran aduan yang diterima daripada Pengerusi syarikat itu. Tetapi Najib masih mengekalkan Nik Faisal sebagai penandatangan rasmi SRC International. Pengekalan ini adalah bertujuan untuk membolehkan Nik Faisal melaksanakan arahan Najib untuk memindahkan RM42 juta ke dalam akaun peribadinya,” hujah Sitambharam.

Selain itu, Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc itu menghujahkan proses memindahkan wang sebanyak RM42 juta daripada akaun SRC International melalui beberapa akaun lain adalah bertujuan untuk mengelakkan ia dikesan.

Penggunaan akaun syarikat Ihsan Perdana Sdn. Bhd. (IPSB) dan Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) sebagai akaun transit adalah bertujuan untuk mengaburi asal usul wang tersebut dan bagi mengelakkan pergerakan dana itu diketahui.

“Jika pergerakan keluar wang RM42 juta itu adalah tanpa niat jahat, atau bertujuan untuk kegunaan komersial atau perniagaan, makan penggunaan akaun GMSB dan IPSB tidak diperlukan. Ia dilakukan bagi menutup fakta bahawa dana milik SRC International telah dimasukkan ke akaun peribadi Najib yang sebenarnya menunjukkan salah laku,” kata Sithambaram.

Rayuan yang didengar oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Abdul Karim Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Vazeer bersambung hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya