Timbang benarkan pelancong luar negara telah divaksin melancong - Utusan Malaysia

Timbang benarkan pelancong luar negara telah divaksin melancong

YEOH SOON HIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Pusat diharap dapat mempertimbangkan untuk membenarkan pelancong dari luar negara yang telah mendapatkan vaksin Covid-19 untuk melancong ke negara ini bagi merancakkan kembali sektor berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, Malaysia boleh membuka kembali pintu pelancongan antarabangsa di bawah program gelembung pelancongan secara beransur-ansur dengan mengizinkan pelancong yang telah divaksin memasuki negara ini dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

“Pelancongan adalah salah satu sumber pendapatan utama bagi ekonomi negara dan kita perlu merumuskan dasar yang sesuai untuk merancakkan semula pelancongan antarabangsa.

“Kita harus mencari alternatif yang boleh digunakan untuk membantu industri dan menstabilkan sektor pelancongan selepas pandemik Covid-19,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan hanya melaksanakan gelembung pelancongan bersasar yang membenarkan pergerakan orang ramai melalui agensi pelancongan berdaftar untuk merancakkan semula sektor pelancongan domestik.

Bagaimanapun, pintu pelancongan antarabangsa masih lagi ditutup walaupun beberapa negara seperti Thailand mula membukanya secara berperingkat.

Menurut Soon Hin, pelancongan adalah salah satu sektor yang paling kompetitif dan untuk memastikan tidak ketinggalan, Malaysia perlu memperkenalkan polisi yang relevan pada waktu yang paling tepat.

“Kerajaan Pusat perlu mencari alternatif untuk menerima pelancong antarabangsa dan bersedia memulakan kembali pelancongan antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, K. Raj Kumar berkata, Kerajaan Pusat perlu bersedia sepenuhnya untuk membuka kembali sektor pelancongan antarabangsa secara berperingkat kepada pelancong yang telah mendapatkan vaksin Covid-19.

“Kita tidak boleh selama-lamanya menutup pintu pelancongan antarabangsa, sektor pelancongan perlu bantuan supaya dapat kembali bangkit selepas pandemik Covid-19.

“Pelancong antarabangsa perlu dibenarkan melancong kembali secara berfasa supaya kita tidak ketinggalan dan dalam masa sama SOP pencegahan Covid-19 tetap dipatuhi,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Pusat dicadangkan membenarkan pelancong dari negara Asia Tenggara yang telah divaksin untuk melancong ke negara ini sebelum membenarkan pelancong dari negara-negara Eropah atau Asia Barat memasuki negara. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya