Tiga lokaliti dilanjutkan lagi tempoh PKPD - Ismail Sabri

Tiga lokaliti dilanjutkan PKPD

PKPD di Bandar Sri Indah, Tawau yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan lagi sehingga 9 Mei.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan di Daerah Tawau, Sabah yang dijadualkan tamat esok, kini dilanjutkan lagi susulan 81 kes positif Covid-19 dikesan daripada 607 ujian saringan di dua lokaliti itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut dilanjutkan PKPD ialah kawasan Sungai Passin, Matu, Sarawak dalam tempoh sama sehingga 9 Mei ini.

Kementerian Kesihatan ujarnya, merekodkan 49 kes daripada sejumlah 442 ujian saringan malah masih ada penularan berterusan dengan lima kes baharu terakhir pada 19 April lalu.

Dalam pada itu kata Ismail Sabri, enam lokaliti di Daerah Tawau, Sabah menyaksikan PKPD ditamatkan seperti yang dijadualkan pada esok setelah melaporkan trend penurunan kes.

“Penamatan PKPD itu meliputi penduduk di kawasan Taman Cahaya, Jalan Tengku Osman, Kuarters Bomba Tawau, Jalan Mesra, Taman Golden Hill dan Taman Sri Bukit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam merekodkan 269 individu ditahan dengan 250 dikompaun manakala 19 direman.

Menurutnya, kesalahan tertinggi ialah aktiviti di pusat hiburan sebanyak 74 kes diikuti tidak mendaftar masuk premis (84), gagal memakai pelitup muka (45), dan lain-lain lagi (66).

“Seramai 76 orang pendatang asing tanpa izin turut ditahan melalui Operasi Benteng semalam dengan sebanyak 157 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” katanya.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 1,205 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya dikuarantin manakala sejumlah 7,009 individu masih lagi menjalani proses itu. 

Seramai 1,602 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 175,210 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN