‘Tidak sekali-kali sembunyikan penyelewengan’ - Alexander

‘Tidak sekali-kali sembunyikan penyelewengan’

ALEXANDER Nanta Linggi (dua dari kiri) menyerahkan sijil penghargaan francais kepada Pengarah Revenue Valley, Deric Yeo ketika hadir pengumuman khas program francais mikro dan mampu-milik di Manhattan Fish Market, Alamanda di Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak akan menyembunyikan perlakuan salah termasuk penyelewengan minyak masak bersubsidi oleh pihak terlibat.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya juga malah sedia membongkarkan segala isu berkaitan ketirisan agar rakyat terutama pengguna tampil bekerjasama.

“Apa yang dilaporkan (Utusan Malaysia) itu memang betul dan kita tidak malu mendedahkan supaya rakyat tidak takut bantu penguat kuasa kementerian dengan memberikan maklumat awal,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik di Kompleks Alamanda Putrajaya, di sini hari ini.

Utusan Malaysia melaporkan pendedahan Pengarah Penguat kuasa kementerian itu, Azman Adam mengenai ‘pakatan jahat’ penyelewengan subsidi minyak masak polibeg satu kilogram melibatkan pengedar, pemborong dan pembungkus semula yang mengakibatkan ketirisan kira-kira RM50 juta yang diberikan pihak kerajaan kepada sektor industri pada setiap bulan.

Modus operandinya dengan memindahkan minyak bersubsidi itu yang sepatutnya dibungkus kepada bentuk botol untuk dibeli pula pihak komersial pada harga lebih RM2.50 sekilogram.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, pihak penguat kuasa kementerian amat mengharapkan kerjasama masyarakat untuk membendung gejala penyelewengan subsidi diberikan kerajaan dan pada masa sama, meminta masyarakat tidak gentar melaporkan kepada pihak kementerian untuk tindakan susulan kerana ia turut memberi kesan kepada rakyat akhirnya.

“Jika dilihat angka rampasan pada tahun lepas mencatatkan peningkatan berbanding 2019 dan ini menunjukkan bukti, kita tidak berkompromi terhadap pihak yang seleweng,” katanya merujuk kepada situasi minyak masak bersubsidi kurang dalam pasaran, sedangkan pengilang mendakwa bekalan lebih daripada mencukupi keperluan.

Justeru, beliau memberikan amaran keras bahawa tindakan tegas boleh dikenakan kepada pihak industri yang bersubahat dalam penyelewengan produk berkenaan sehingga menyusahkan rakyat.

“Kegiatan ini haram dan menyalahi undang-undang selain mengalirkan wang kerajaan yang seharusnya untuk golongan B40 tetapi pihak lain pula dapat untung besar,” katanya kesal.

Ketika ini, terdapat 25 pengilang dan 296 syarikat pembungkus di seluruh negara dengan pengeluaran 60,000 tan metrik pada setiap bulan untuk minyak masak bersubsidi sekilogram. 

Namun untuk mengekang pembelian panik, mulai 19 Januari lalu, Arahan Penetapan Had Pembelian dibuat dengan setiap pembeli hanya tiga peket polibeg dalam satu transaksi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya