KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan akan mengambil tindakan tegas membabitkan kes seorang guru lelaki yang didakwa membuat jenaka berbaur lucah di hadapan pelajar semasa sesi pembelajaran di sebuah sekolah di Selangor.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin menegaskan, pihaknya akan mengambil tindakan dan tidak akan bertoleransi terhadap dakwaan kes berkenaan.
“Kita sedangkan melaksanakan siasatan dalaman dan kes ini pula menjadi kes polis. Justeru kementerian ingin menjelaskan kita ambil serius perkara ini dan tidak akan bertoleransi.
“Untuk melihat keadaan sebenar jika ada kes, tindakan serius dan tegas sewajarnya akan diambil,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada baru-baru ini, satu video berdurasi 59 saat tular yang memaparkan dakwaan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang kesal dengan jenaka keterlaluan guru lelaki terbabit yang seolah-olah menggalakkan jenayah rogol.
Menurut pelajar itu, kejadian berlaku ketika kelas pendidikan jasmani di mana topik perbincangan adalah berkaitan kesedaran gangguan seksual dan cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut.
Bagaimanapun dakwa pelajar itu, sesi pembelajaran yang berjalan lancar bertukar sebaliknya apabila guru terbabit mula membuat jenaka lucah berkaitan rogol.
Video dimuatnaik di aplikasi TikTok dan Twitter itu mengundang perdebatan warga maya yang rata-rata mengecam tindakan guru itu. – UTUSAN