PUTRAJAYA: Tiada syarat atau peraturan had umur ditetapkan bagi individu yang ingin menjadi pemandu kenderaan perkhidmatan awam, e-hailing atau kenderaan barangan.
Itu penjelasan diberikan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam satu kenyataan hari ini.
Penjelasan itu dibuat sebagai reaksi kepada laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai tindakan sebuah syarikat e-hailing yang menetapkan syarat had umur bagi memohon pemandu e-hailing.
Ka Siong berkata, kementeriannya atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak menetapkan sebarang syarat atau peraturan berkaitan had umur maksimum kepada mana-mana individu yang ingin menjadi pemandu e-hailing.
Malah, katanya, mana-mana individu boleh terus memegang atau memperbaharui Lesen Vokasional mereka selagi individu tersebut mematuhi semua syarat lain ditetapkan termasuk mengemukakan laporan perubatan yang mengesahkan mereka adalah sihat dan berupaya melaksanakan fungsi pemanduan dengan selamat.
“Saya difahamkan, penetapan had umur maksimum oleh pihak Grab seperti dilaporkan dalam akhbar itu adalah suatu ketetapan atau syarat dalaman untuk mendaftarkan mana-mana individu sebagai pemandu e-hailing dengan Grab,” katanya.
Justeru, beliau berharap operator-operator perkhidmatan e-hailing di seluruh negara dapat menilai semula syarat-syarat dalaman termasuk berkenaan had umur maksimum itu.
“Penilaian semula syarat-syarat ini penting selepas mengambil kira isu kesukaran hidup yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat akibat pandemik Covid-19 ini.
“Ia juga bertujuan membantu semua yang terlibat untuk dapat meneruskan kelangsungan kehidupan mereka dengan bekerja sebagai pemandu e-hailing,” katanya. – UTUSAN ONLINE