Tajuddin diingatkan tidak timbulkan kekeliruan baharu - Mat Nadzari

Tajuddin diingatkan tidak timbulkan kekeliruan baharu – Mat Nadzari

MAT NADZARI AHMAD DAHLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman diminta tidak membuat kekeliruan dan mewujudkan tanda tanya baharu kepada ahli-ahli parti setelah UMNO sudah membuat satu ketetapan jelas dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 lalu.

Ketua Bahagian UMNO Hulu Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, kenyataan Tajuddin yang menyebut apa sahaja boleh berlaku termasuk UMNO menerima DAP jika parti itu berubah menjadi sederhana perlu dibuktikan melalui kesediaan parti itu untuk mengubah Perlembagaan parti sendiri. 

Beliau menjelaskan, semua pihak tahu Perlembagaan DAP adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan ia diyakini tidak akan diubah dengan mudah.

Justeru, katanya, Tajuddin tidak perlu mempersoalkan semula apa yang diputuskan dalam perhimpunan parti dan memperbesarkan benda yang sudah lapuk sebaliknya mencari strategi baharu untuk survival UMNO.  

“Soal ‘No DAP’ sudah diputuskan, jadi hormatilah apa yang diputuskan, kalau nak persoal semula, beliau dilihat tidak ada idea baharu.

“Apabila orang sudah buat keputusan, apa yang beliau cakap sudah jadi lapuk. Jangan dibesar-besarkan benda lapuk, buatlah strategi baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Tajuddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyifatkan tidak mustahil UMNO menjalin kerjasama dengan DAP pada masa depan sekiranya parti itu membawa politik kesederhanaan yang boleh membantu memperkukuhkan kestabilan negara.

Sebelum ini beliau pernah membangkitkan bahawa tidak mustahil UMNO membentuk pakatan baharu lagi-lagi dengan PKR dan DAP bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berdasarkan pendirian majoriti akar umbi parti yang menolak daripada terus bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Mat Nadzari berkata, DAP telah menjadi sentimen kepada orang Melayu sejak dahulu dan pihak-pihak tertentu perlu faham sejarah parti itu sebelum menjalin kerjasama.

Beliau berkata, jika DAP mahu ‘menyambut’ apa yang dicakapkan Tajuddin, parti itu perlu bersedia mengubah Perlembagaan parti mereka. 

“Ubah dahulu Perlembagaan DAP untuk menunjukkan DAP boleh menerima Perlembagaan Persekutuan dengan baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya