Syarikat produksi mungkin dikenakan penalti - Utusan Malaysia

Syarikat produksi mungkin dikenakan penalti

GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri sedang meneliti untuk mengenakan penalti atau membayar kos pemuliharaan terhadap syarikat produksi drama yang bertanggungjawab atas kerosakan fosil dan dinding Gua Matsoorat di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, beberapa perbincangan telah dijalankan antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama pihak operator yang menguruskan kawasan itu dan syarikat produksi berkenaan.

Katanya, hasil perbincangan, terbukti kerosakan di gua bersejarah tersebut dilakukan oleh krew syarikat produksi itu ketika menjalankan penggambaran.

“Perkara ini masih dalam perbincangan sama ada untuk mengenakan penalti atau mereka harus membayar kos untuk kita memulihara semula tempat yang telah dirosakkan.

“Pihak yang pakar juga telah dipanggil untuk melihat kerosakan yang berlaku dan bagaimana untuk kita memuliharanya. 

“Bagaimanapun setakat ini, kita masih belum mengetahui anggaran kerosakan akibat perbuatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Urban Scale Studio Sdn. Bhd. dan Pavillion Agro Farm di Bangunan MBI di sini hari ini.

Pada majlis sama, Nolee turut melancarkan aplikasi sistem MyAduan@MBI yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store bagi pemilik telefon pintar yang menggunakan sistem Android dan App Store bagi pemilik telefon pintar yang menggunakan sistem iOS bermula 30 April ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kawalan keselamatan di Gua Matsoorat itu kini diperketatkan dengan menempatkan pengawal keselamatan yang menjaga kawasan itu sepanjang 24 jam.

Katanya, MBI juga sedang berbincang dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian (PPPNP) yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan kawasan luar gua berkenaan.

“Apa yang terjadi ini, kita ambil sebagai iktibar. Hal berkaitan khazanah dan warisan adalah perkara yang tidak boleh dipandang ringan kerana sekali ia rosak, susah untuk kita memuliharanya semula.

“Oleh itu, bagi memastikan perkara sama tidak berulang, semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengambil tindakan lebih tegas ke atas setiap aktiviti di kawasan konservasi dan bersejarah,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan, berlaku kerosakan pada gigi fosil mamalia herbivor berusia jutaan tahun dan dinding di Gua Matsoorat berhampiran Gunung Lang dekat sini oleh sebuah syarikat produksi yang menjalankan penggambaran drama di kawasan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya