KUALA LUMPUR : Penyanyi lagenda rock tanah air, Datuk Hattan mengaku tidak kisah seandainya ada pihak yang berasa menyampah dengannya gara-gara terlalu lantang berbicara atau ketika memberi teguran.
Menurutnya, sebagai seorang senior atau orang lama dalam industri, dia tidak melihat ia sebagai satu kesalahan apalagi jika teguran itu dibuat dengan rasa kasih sayang dan ada fakta.
“Contohnya minggu lepas saya tegur mengenai isu rentas negeri. Teguran itu bukan untuk kalangan selebriti sahaja tetapi secara umum.
“Teguran itu atas dasar tanggungjawab. Kalau salah, memang saya akan tegur. Kalau tiada yang tegur, semua orang akan ingat menarik atau bagus saja.
“Bila tegur, nampaklah keinsafan itu sikit. Kalau ada orang tak suka, menyampah, suka hati merekalah.
“Dalam dunia ini pun bukan semua orang suka kita pun, mesti ada pembenci,” katanya.
Hattan berkata demikian semasa ditemui dalam majlis pelancaran pelantikannya sebagai duta produk air minuman Stobu di sini, hari ini.
Ulasan itu juga dibuat setelah dia dilihat baru-baru ini menegur segelintir selebriti dan instafamous menyalahguna kebenaran rentas negeri yang diluluskan oleh pihak berkuasa
Selain itu, kata Hattan, dia berasa pelik dengan sikap sesetengah orang yang gemar bercakap belakang tentang sesuatu perkara namun tidak berani tampil ke depan untuk berhujah.
“Depan baik, belakang kutuk-kutuk. Perangai apa macam itu? Sebab itulah saya, kalau ada perkara salah di mata, cakap depan-depan.
“Cakap bukan bererti nak matikan semangat, tetapi untuk membakar semangat agar individu tersebut dapat perbaiki diri dan menjadi maju lagi.
“Ambil yang positif, itu baru betul. Ada saja kawan artis lain yang mesej diam-diam dan setuju dengan teguran yang saya buat. Tapi itulah, depan-depan tak berani pula cakap sama.
“Tak ada istilah saya nak jadi hero atau apa. Tegur sama-sama kalau ada salah. Tak akan saya seorang saja yang nak tegur,” katanya.