SSM ringan beban komuniti perniagaan - Utusan Malaysia

SSM ringan beban komuniti perniagaan

Alexander Nanta Linggi (tengah) merasmikan Hari Ulang Tahun Suruhanjaya Syarikat Malaysia Ke-19 dan Kempen ‘Usahawan Bijak, Usahawan Berdaftar’, sambil diperhatikan Hasnol Zam Zam Ahmad (kiri) dan Nor Azimah Abdul Aziz di Menara SSM, Kuala Lumpur, kelmarin. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah banyak membantu dan memberi manfaat kepada usahawan-usahawan di negara ini sejak ditubuhkan 19 tahun yang lalu.

Mula ditubuhkan pada 16 April 2002, SSM adalah sebuah badan berkanun yang pertama di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), bagi mengambil alih tugas dan tanggungjawab Pendaftar Syarikat (ROC) dan Pendaftar Perniagaan (ROB).

Setakat ini, SSM telah berjaya memperkenalkan sebanyak 11 inisiatif pada 2020 dan sembilan inisiatif pada tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberitahu, antara inisiatif SSM di dalam Program Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) ialah, menaikkan nilai ambang semasa keterhutangan dari RM10,000 ke RM50,000 sehingga 31 Disember 2020.

“Namun, berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia, SSM telah mengumumkan bahawa nilai ambang keterhutangan syarikat yang dinaikkan itu sebagai satu nilai ambang baharu yang kekal, berkuat kuasa 1 April 2021 lalu.

“Insentif itu telah berjaya menunjukkan penurunan yang ketara dalam Petisyen Penggulungan yang diserah simpan ke SSM. Bagi tempoh April hingga September 2020 hanya 665 petisyen penggulungan diserah simpan berbanding tempoh sama 2019 dan 2018 iaitu sebanyak 1,760 dan 1,533,” katanya semasa majlis sambutan Ulang Tahun SSM di sini Jumaat lalu.

Jelasnya, di bawah Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP), SSM juga menawarkan kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada usahawan kumpulan B40 dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sepenuh masa yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

Selain itu, katanya, SSM juga membantu OKU (Orang Kurang Upaya) untuk mendaftar dan memperbaharui perniagaan mereka secara percuma sebagai galakan buat golongan OKU untuk menceburi bidang perniagaan.

Inisiatif itu merujuk kepada Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1OKU1P). Sehingga 31 Mac 2021, sebanyak 13,111 perniagaan telah didaftarkan di bawah skim tersebut.

Menurutnya, SSM terus komited untuk membantu meringankan beban komuniti perniagaan dengan melaksanakan inisiatif melanjutkan pengecualian kompaun kelewatan memperbaharui pendaftaran perniagaan dan kelewatan mendaftarkan perniagaan baharu di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 sehingga 31 Disember 2021.

Pengecualian tersebut dianggarkan akan memanfaatkan lebih 330,000 komuniti perniagaan.

Lebih-lebih lagi, sempena ulang tahun ke-19, SSM turut melancarkan kempen bertemakan ‘Usahawan Bijak, Usahawan Berdaftar’.

Sementara itu, Ketua Setiausaha kementerian merangkap Pengerusi SSM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, kejayaan agenda transformasi SSM telah terbukti apabila masyarakat kini lebih mudah berurusan dengan SSM.

“Kini orang ramai boleh berurusan di 13 pejabat SSM negeri dan 8 cawangan yang disokong oleh 1,240 orang kakitangan yang terdapat di seluruh negara.

“SSM juga telah mewujudkan pelbagai kolaborasi bersama agensi-agensi lain seperti Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat untuk memberi perkhidmatan kepada komuniti peniaga yang tinggal di pedalaman atau jauh dari pejabat SSM,” kata Hasnol.

Hasnol menjelaskan, pihaknya juga bergerak seiring dengan perkembangan teknologi global dengan memperkenalkan sistem perkhidmatan dalam talian dengan menyediakan sistem seperti EzBiz Online, MyCoID, MyLLP, Malaysian Business Reporting System (MBRS), e-Secretary, SSM BizTrust serta E-info dan MyDATA.

Tambahnya, melalui inovasi yang telah dilaksanakan, SSM telah berjaya mendaftarkan lebih 8.7 juta perniagaan, 1.4 juta syarikat dan sebanyak 27,000 Perkongsian Liabiliti Terhad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya