Sri Lanka sekat minyak sawit, Filipina Vietnam tingkatkan import - Utusan Malaysia

Sri Lanka sekat minyak sawit, Filipina Vietnam tingkatkan import

MOHD. KHAIRUDDIN Aman Razali menunjukkan tanda bagus ketika Majlis Perasmian Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan di Hotel LaCrista, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tindakan Sri Lanka menyekat import minyak kelapa sawit dari Malaysia tidak akan menjejaskan industri komoditi negara susulan pasaran eksport telah diperkasakan sehingga ke Afrika dan Asia Barat.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, jumlah eksport terus merekodkan kepercayaan negara-negara lain terhadap kualiti minyak kelapa sawit Malaysia.

Beliau berkata, selain meningkatkan eksport untuk pasaran Arab Saudi, kini, negara turut menerima permintaan tinggi minyak berkenaan dari Filipina dan Vietnam.

“Tindakan ini adalah satu diskriminasi yang dicetuskan Sri Lanka dengan mendakwa kononnya Malaysia dan Indonesia menjalankan aktiviti penebangan hutan, namun, sebaliknya kita mempunyai rizab yang besar dan masih menanam sawit.

“Walaupun Sri Lanka melakukan sekatan, namun, ia tidak akan menjejaskan industri komoditi negara ini kerana masih banyak lagi negara yang mahukan minyak kelapa sawit Malaysia kerana kualiti tinggi bahan mentah kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perasmian Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan di Hotel LaCrista di sini, hari ini.

Terdahulu, media antarabangsa semalam melaporkan, Sri Lanka menyekat import minyak sawit daripada Malaysia dan Indonesia, selain menghalang pembukaan ladang sawit baharu.

Tambah Mohd. Khairuddin, dakwaan itu juga sama sekali tidak berasas, memandangkan negara turut menubuhkan Yayasan Konservasi Hijau Sawit Malaysia (MPOGCF) sebagai usaha untuk menangani kempen anti-minyak kelapa sawit.

Jelasnya, perkara itu juga akan dibawa ke peringkat Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk membantah tindakan beberapa negara termasuk Eropah.

“Kita akan melakukan kempen secara besar-besaran menyatakan bahawa minyak sawit kita adalah yang terbaik. Minyak sawit kita juga telah mencapai 90 peratus pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Tindakan menganaktirikan ini juga tidak adil, Sri Lanka perlu mendapat maklumat lengkap daripada kerajaan Malaysia sebelum melakukan sekatan itu. Semua minyak sawit dihasilkan berdasarkan konsep kelestarian dan kemampanan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya