SOP Aidilfitri ditentu Isnin ini - Utusan Malaysia

SOP Aidilfitri ditentu Isnin ini

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri akan ditentukan Isnin ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat akan membincangkan  butiran SOP tersebut terlebih dahulu petang ini sebelum dibawa ke sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Petang ini Jawatankuasa Teknikal akan bincang, kemudian sidang khas MKN diadakan Isnin ini yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata beliau ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Namun, Ismail enggan mengulas mengenai perincian yang akan ditetapkan dalam SOP tersebut.

“Kita belum tahu lagi kerana sekarang ini kes semakin meningkat. Kita tengok Selangor semalam catatkan lebih 1,000 kes dan di seluruh Malaysia pula daripada 2,000 kes kepada lebih 3,000 kes.

“Jadi kita tunggu cadangan, pembentangan dan nasihat Kementerian Kesihatan, sebab SOP yang kita keluarkan nanti adalah berdasarkan nasihat mereka jadi petang ini akan dibincangkan,” katanya.

Pada masa sama, Ismail juga mendedahkan bahawa MKN Selangor akan bermesyuarat petang ini bagi membincangkan mengenai SOP untuk Aidilfitri negeri itu.

“Saya difahamkan MKN Selangor pun tengah bermesyuarat dan dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Mesyuarat mereka hari ini mungkin akan bentang kepada kita petang ini dan kita akan lihat situasi dan cadangan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail memberi jaminan bahawa SOP tersebut akan ditentukan selewat-lewatnya Isnin ini.

“Hari ini jawatankuasa teknikal dan Isnin pula sidang khas dengan ahlinya terdiri daripada Menteri-menteri Besar, ketua-ketua menteri dan sebahagiannya menteri Kabinet jadi kita akan putuskan, saya percaya Isnin ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya