KUALA TERENGGANU: Berkemahiran menghasilkan songket sejak dari kecil membolehkan jenama Songket PC keluaran Dalimah Awang, 56, menjadi pilihan ramai termasuk golongan kenamaan.
Walaupun cuma beroperasi dari rumah di Kampung Gong Baru di sini, namun keunikan rekaan kain tenunan ibu kepada lima anak ini tetap diburu pelanggan terutama dari Kuala Lumpur.
Dalimah berkata, penglibatannya dalam bidang ini didorong oleh minat yang tinggi kerana sering membantu ibunya menenun sekali gus menjadi generasi keempat yang masih meneruskan warisan turun-temurun nenek-moyang itu.
Katanya, dia mula mengusahakan perniagaan itu secara kecil-kecilan pada 2000 dan bantuan pinjaman sebanyak RM20,000 oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 2017 banyak membantu mengembangkan lagi bisnesnya hingga mampu mengupah lima pekerja.
“Setakat tiga bulan pertama ini, sudah 10 helai songket pelbagai jenis termasuk samping dan kain pasang berjaya dijual.
“Kebanyakan songket yang dihasilkan berwarna pastel terutama krim berikutan permintaan yang tinggi pada musim perkahwinan ketika ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Dalimah, harga songket bermula daripada RM300 bagi fabrik kapas manakala sutera pula antara RM2,000 ke RM5,000 sehelai, dengan corak yang paling popular ialah pagar dan pokok.
Katanya, walaupun berdepan saingan daripada songket India yang jauh lebih murah, namun fabrik buatan tangan yang asli tetap mempunyai peminat yang tersendiri.
“Permintaan terhadap songket tetap ada cuma tenaga kerja kita makin berkurangan kerana kebanyakan orang muda sudah tidak gemar menceburi bidang tenunan yang menuntut kesabaran tinggi di samping tiada minat.
“Selagi saya masih sihat, seni pembuatan songket ini akan diteruskan bagi memastikan warisan budaya nenek moyang subur dalam masyarakat,” katanya yang aktif mengadakan demonstrasi di acara-acara kebudayaan.
Mereka yang berminat untuk mendapatkan Songket PC boleh menghubungi talian 013-9831417. – UTUSAN
DALIMAH AWANG
» HP: 013-9831 417/013-9801 417
» Lokasi: 1841A Kg. Gong Tok Nasek, 21100 K. Terengganu
» Perniagaan: Songket