Sindiket penipuan program rekalibrasi tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket penipuan program rekalibrasi tumpas

SEBAHAGIAN pasport Bangladesh dirampas Jabatan Imigresen dalam operasi khas membongkar sindiket penipuan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja PATI di Kota Damansara, Selangor pada 23 April 2021. - GAMBAR JABATAN IMIGRESEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tawaran sebagai pekerja di syarikat yang tidak wujud akhirnya membongkarkan sindiket penipuan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam serbuan di Kota Damansara semalam.

 Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan pada pukul 4.30 petang, imigresen mendapati sindiket itu  didalangi wanita  tempatan berusia 61 tahun yang menjalankan kegiatan tersebut  di rumahnya.

 “Pemeriksaan di rumah itu menemui  79 pasport warga Bangladesh. Turut ditemui Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh, pelbagai dokumen lain  selain wang tunai  RM37,050,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 Menurut beliau, wanita itu  ditangkap untuk disiasat di bawah seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, iaitu tanpa kuasa sah memiliki pasport dikeluarkan untuk kegunaan orang selain dirinya.

 “Dia juga disiasat di bawah seksyen 56(1)(k) Akta Imigresen 1959/63, iaitu cuba mendapatkan bagi orang lain suatu pas dengan mengemukakan maklumat palsu,” kata Khairul Dzaimee.

Beliau menambah, sindiket itu dipercayai memanipulasi PATI untuk mendaftarkan diri dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja atas nama majikan yang disediakan sindiket dengan caj tertentu.

 Kata beliau, setiap PATI dikenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 bagi didaftarkan dalam Program Rekalibrasi yang ditawarkan wanita itu.

 Susulan kes itu, jabatan tersebut jelas beliau, menasihatkan majikan dan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan peluang yang disediakan oleh kerajaan melalui Program Rekalibrasi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya