Sindiket kartel projek bernilai RM3.8 bilion dilumpuhkan

Sindiket kartel projek bernilai RM3.8 bilion lumpuh

TUJUH suspek yang dipercayai terlibat sindiket kartel projek bernilai RM3.8 bilion dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk mendapatkan perintah reman di Putrajaya hari ini. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu sindiket kartel projek berjaya dilumpuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan penahanan tujuh individu termasuk seorang ketua sindiket berusia 47 tahun.

Menurut sumber, sindiket kartel projek itu yang beroperasi sejak 2014 telah memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek sebanyak RM3.6 bilion. 

Beliau memberitahu, ketua sindiket tersebut mengawal lebih 150 syarikat yang digunakan untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi yang terlibat. 

“Dia dikatakan mewujudkan 150 syarikat yang berbeza dengan menggajikan individu-individu sebagai pengarah syarikat yang mana sebenarnya dimiliki beliau sendiri.

“Tumpuan sindiket ialah terhadap projek penyelenggaraan fasiliti dan projek-projek pembangunan,” katanya di sini hari ini.

Selain itu, sumber itu memberitahu, sindiket ini dipercayai mendapat kerjasama ‘orang dalam’ untuk memastikan syarikat-syarikat di bawah kawalannya dibenarkan masuk tender atau sebut harga dan memastikan salah satu daripadanya berjaya.

Katanya, modus operandi kartel itu ialah membayar rasuah kepada orang dalam untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa yang sesuai untuk menghantar borang tender atau sebut harga.

“Taktik ‘mengepung harga’ iaitu dengan menyertai sesuatu tender dengan menggunakan sejumlah besar syarikat yang berada di bawah kawalan ketua sindiket. 

“Syarikat-syarikat terbabit akan memasuki tender mengikut harga yang berbeza-beza berdasarkan harga siling yang ditetapkan,” katanya.

Sumber berkata, hasil risikan yang dijalankan juga mendapati sindiket itu menggunakan nama beratus individu untuk membuka syarikat-syarikat di bawah naungannya.

Katanya, setiap individu akan dibayar gaji bulan dan komisen sebagai imbuhan bagi penggunaan nama dan butir-butir peribadi.

“Dipercayai butir-butir kelayakan akademik dan kelayakan profesional bagi kebanyakan penama yang digunakan untuk menubuhkan syarikat adalah palsu.

“Setiap syarikat juga dikatakan menggunakan penyata kewangan palsu untuk melayakkan mereka memasuki tender atau sebut harga berkenaan,” katanya.

Jelasnya, satu intipan dan pemantauan dijalankan di pusat operasi sindiket ini malam tadi yang mana hampir keseluruhan ahli-ahli sindiket berkumpul untuk mengisi borang-borang tender.

“Serbuan SPRM mengejutkan semua yang hadir dan beberapa tangkapan telah dibuat malam tadi,” katanya 

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan. 

Kes disiasat dibawah seksyen 17 dan 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beliau tidak menolak lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya