KUANTAN: Kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memberi bayangan akan meninggalkan Muafakat Nasional (MN) setakat ini hanya ‘bayang’ yang belum pasti keputusannya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, apa yang dilaporkan itu kadang-kadang tidak memberikan gambaran sebenar tentang kenyataan yang diucapkan oleh Abdul Hadi.
“Kita tahu sejauh mana. Kadang-kadnag kita tidak tahu dia (Abdul Hadi) cakap lain dan mungkin dari segi penulisan berbeza dengan apa yang diperkatakan.
“Saya sudah katakan, kita ada mesyuarat Muafakat Nasional (MN) dua minggu sekali yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berbagai-bagai perkara dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
“Mesyuarat selepas ini kita akan lihat apa yang akan dibincangkan dan barulah boleh buat kenyataan. Setakat ini seperti apa yang dikatakan membayangkan, jadi ia hanya bayang sahajalah,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia di Hotel Swiss-Bell di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.
Pada majlis berkenaan, seramai 295 penerima menerima Pingat Jasa Malaysia sebagai penghargaan oleh kerajaan terhadap jasa dan bakti mereka kepada negara terutamanya semasa Darurat.
Baru-baru ini, Abdul Hadi Awang memberi bayangan akan meninggalkan MN kerana mendakwa ia sudah menyeleweng dari matlamat asas sebalik meminta semua menyertai Perikatan Nasional (PN).
Katanya, jika mahu menyelamatkan negara semua kumpulan Islam mesti menyertai pakatan baharu, PN bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.
Dalam kenyataan di Facebook, Abdul Hadi berkata, mereka juga bersama golongan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi menyelamatkan negara, tanpa menghabiskan masa. – UTUSAN ONLINE