Serbuan Op Pelican 3.0 ikut SOP polis - Ayob Khan

Serbuan ikut SOP polis – Ayob Khan

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Serbuan dijalankan polis menerusi Op Pelican 3.0 di Trigon Residence Setiawalk, Puchong pada 20 dan 21 Mac lalu dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan itu mematuhi peruntukan undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Menurut beliau, dalam operasi berkenaan, sebanyak 70 serbuan dijalankan bagi mengesan dan menangkap ketua kumpulan dan anggota Geng Nicky.

“Pada 20 dan 21 Mac lalu, ‘Task Force’ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor disertai seramai 220 pegawai dan anggota serta Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4, Cheras telah menjalankan Op Pelican 3.0 di sekitar Lembah Klang dan Selangor.

“Sebanyak 45 daripada 70 serbuan yang dibuat melibatkan unit kediaman kondominium di Trigon Residence Setiawalk, Puchong,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ayob Khan, dalam serbuan berkenaan, beberapa unit kondominium telah dimasuki dengan cara memecahkan tombol pintu sebelum digeledah.

“Penggeledahan unit-unit tersebut dibuat berdasarkan maklumat risikan dan atas sebab munasabah bagi mengesyaki suspek bersembunyi dan dokumen serta harta terlibat disimpan atau disembunyikan,” ujarnya.

Ayob Khan membuat kenyataan itu sebagai menjawab luahan beberapa penduduk berkaitan kerosakan yang berlaku di kediaman mereka semasa serbuan Op Pelican 3.0 seperti dilaporkan media, baru-baru ini.

Laporan tersebut memberitahu kira-kira 10 pemilik kediaman meluahkan rasa terkilan dengan tindakan polis yang didakwa telah merosakkan pintu kediaman mereka dalam operasi memberkas ahli perniagaan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Salah seorang pemilik yang hanya mahu dikenali sebagai Wendy berkata, dia berasa kecewa apabila dimaklumkan perkara itu oleh pihak pengurusan sehari selepas serbuan dilakukan pihak berkuasa.

Katanya, sepatutnya pihak berkuasa memaklumkan terlebih dahulu kepada pemilik atau penyewa agar sebarang kerosakan dapat dielakkan.

“Kami harap polis dapat berikan penjelasan lanjut berkenaan perkara ini kepada semua pemilik kediaman yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Trigon Residence Setiawalk di sini, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya