Sentuhan Badril julang Capal Jago - Utusan Malaysia

Sentuhan Badril julang Capal Jago

ANTARA capal menggunakan material kulit lembu dihasilkan Badril Shahidan Hashim yang mendapat tempahan menggalakkan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Meneruskan legasi pembuatan capal berusia 63 tahun yang ditinggalkan arwah bapanya, Hashim Hassan kira-kira 11 tahun lalu bukan satu tanggungjawab mudah untuk digalas Badril Shahidan Hashim, 40.

Melakukan hampir semua kerja itu secara sendirian, bapa kepada tiga cahaya mata itu sanggup memendam impiannya untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi semata-mata mahu mewarisi perniagaan tersebut.

Kini, capal buatan tangan Badril Shahidan di bawah jenama Capal Jago bukan sahaja menjadi sebutan di Pulau Pinang bahkan tersohor hingga ke luar negara termasuk Australia.

Malah, ia menjadi kegemaran beberapa pemimpin negara terutama bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas sama ada ketika musim perayaan atau sebaliknya.

Menurut Badril Shahidan, capal yang dihasilkannya itu dikategorikan mengikut hierarki dan dijual pada harga antara RM45 hingga RM450 sepasang.

“Capal paling mahal ialah Capal Diraja kerana ia dijahit menggunakan sehingga 11 lapisan kulit dan mengambil masa sehingga 16 jam untuk disiapkan (sepasang).

“Selain capal tersebut, saya menghasilkan tiga lagi capal iaitu jenis Bendahara, Temenggung dan Putera untuk kanak-kanak selain jenis Mahsuri dan Tun Teja untuk kegunaan wanita,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun turut terkesan dengan ‘tempias’ pandemik Covid-19 sejak tahun lepas hingga menjejaskan perniagaan Capal Jago, dia bersyukur kerana masih menerima tempahan khususnya daripada kalangan penggemar selipar kulit buatan tangan itu.

“Kehadiran Ramadan kali ini juga ibarat bonus untuk saya apabila menerima sehingga 1,000 tempahan setakat ini,” katanya yang mengambil masa sehingga sembilan tahun untuk memahirkan diri dengan teknik pembuatan capal berkenaan.

Ketika ini, kebanyakan capal yang dihasilkan Badril Shahidan dipasarkan secara dalam talian selain boleh diperoleh secara terus di kedainya di sini.

“Bagi saya, capal buatan tangan ini sama seperti perniagaan lain kerana tetap mempunyai saingannya yang tersendiri.

“Bezanya ialah bagaimana kita menjaga identiti (capal) kita selain cara kita menjaga hubungan dengan pelanggan,” katanya yang mampu menyiapkan sehingga 25 capal biasa dalam tempoh sehari ketika ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya