Sempadan negara masih perlu ditutup - PM - Utusan Malaysia

Sempadan negara masih perlu ditutup – PM

MUHYIDDIN Yassin (dua dari kiri) menerima naskhah al-Quran yang disumbangkan Yayasan Restu kepada masjid dan surau dalam DUN Gambir di Masjid Jamek Simpang 5 Darat di Bukit Gambir, Tangkak, Johor. - UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Kerajaan tidak bercadang membuka pintu sempadan negara buat masa ini meskipun perkara itu dilihat dapat membantu memulihkan kembali tahap ekonomi negara selain memudahkan pergerakan rakyat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, biarpun terdapat permintaan dibuat oleh pelbagai pihak untuk membuka pintu sempadan, perkara itu adalah keputusan yang sangat sukar dilakukan.

“Sempadan kita masih kekal tutup, walaupun ada rayuan daripada sesetengah pihak supaya dibuka untuk membolehkan pergerakan tapi kita menimbang daripada pelbagai sudut.

“Mungkin kalau buka terlalu awal akan jadi masalah, tetapi kalau tidak dibuka langsung pun seperti sekarang juga menjadi masalah. Ini pertimbangan yang agak sukar yang saya terpaksa buat dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Masjid Jamek Simpang 5 Darat di Bukit Gambir, hari ini.

Awal Mei ini, Muhyiddin dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Singapura bagi berjumpa rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong yang antara agenda disebut-sebut dalam pertemuan itu termasuk kebenaran rentas antara kedua-dua negara.

Tambah Muhyiddin, beliau khuatir pembukaan pintu sempadan negara mengundang kes-kes baharu Covid-19 daripada varian yang kuat dan ganas seperti terjadi di beberapa negara termasuk India.

“Malah, dalam mesyuarat MKN kita buat keputusan untuk menghalang kemasukan warganegara India bagi memastikan varian dari negara itu tidak menjangkiti pula rakyat negara ini dan meletakkan Malaysia dalam keadaan mencabar,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, rentas negeri juga tidak dapat dibenarkan memandangkan data yang diperoleh menyaksikan penularan akibat aktiviti itu adalah tinggi.

“Kalau ada pun masih ada sektor tak dibenarkan seperti sektor pelancongan, mengapa tak boleh? Bukankah negara demokrasi dan ada kenderaan yang mengangkut kita pergi ke mana-mana.

“Tidak boleh. Kerana daripada data yang kita kumpul (aktiviti) disebabkan oleh rentas negeri antara faktor yang menyumbang kepada penularan wabak Covid-19, sebab itu kita masih kawal (kecuali) rentas daerah kita benarkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mengawal keadaan dan melindungi rakyat termasuk terpaksa mengambil tindakan tegas seperti kompaun untuk menguatkuasakan undang-undang.

“Antara faktor yang masih berlaku adalah ketidakpatuhan kepada prosedur standard operasi (SOP), maka kerajaan ada tanggungjawab untuk mengawal keadaan dengan kuat kuasa undang-undang, tetapi kita tak mungkin mampu untuk uruskan hal ni secara seratus peratus.

“Justeru, ia berbalik kepada rakyat untuk menguruskan hal ehwal masing-masing dengan mematuhi peraturan yang ketat supaya kita tidak terjangkit dengan kes Covid-19 ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya