Sebatang kara tinggal dalam kios - Utusan Malaysia

Sebatang kara tinggal dalam kios

ROZY Mat Akhir menjadikan kios sebagai tempat tinggalnya di Teluk Intan, Perak, baru-baru ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang lelaki yang hidup sebatang kara menjadikan sebuah kios perniagaan yang kosong di taman rekreasi di tebing Sungai Perak di sini sebagai tempat tinggalnya sejak Mac tahun lalu.

Rozy Mat Akhir, 45, dari Kampung Beca, Sungai Nibong dekat sini tidur di dalam kios itu dengan beralaskan kotak terbuang dan diterangi lampu menggunakan kuasa bateri.

Katanya, dia mengharapkan belas ihsan orang ramai dan rakan-rakannya untuk mendapatkan makanan sebagai alas perut serta berbuka puasa.

“Saya menjadikan kios ini sebagai tempat berteduh sejak Mac tahun lalu kerana tidak mempunyai rumah. Saya tidak mampu bekerja apatah lagi kerja berat kerana menghidap penyakit barah hati.

“Saya tidur di sini sebab saya tengok tak ada orang berniaga. Apabila saya tidur di dalamnya, sekurang-kurangnya dapat juga saya tengok-tengokkan kios ini.

“Sebelum ini saya pernah tidur di merata-rata tempat seperti stesen bas, masjid dan di rumah kawan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Rozy, keadaan tempat tinggalnya itu menyebabkan dia sukar untuk melelapkan mata selain memikirkan nasibnya sampai bila akan terus hidup dalam keadaan begitu.

“Saya bimbang dengan keadaan kesihatan apatah lagi disahkan menghidap barah hati, menyebabkan badan tidak sihat seperti dahulu,” katanya.

Katanya, walaupun mempunyai penyakit, dia tetap berpuasa dan solat.

“Saya sering teringat adik-beradik yang tidak tahu di mana mereka. Ayah dan ibu pun sudah tidak ada lagi. Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bermurah hati memberikan makanan dan bantuan sejak saya tinggal di kios ini,” katanya.

Katanya, dia pernah cuba memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tapi tidak gagal. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya