KUALA KANGSAR: Ingin mengubah nasib keluarga dan memberi kehidupan selesa kepada anak-anak mendorong Sazilah Mohd. Yusof, 53, menceburi industri pembuatan kraftangan seni tembikar tradisional dikenali labu sayong.
Mengakui bukan seorang yang memiliki ‘tangan seni’, Sazilah yang merupakan ibu kepada tiga anak itu terus mengorak langkah meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Malah katanya, potensi besar industri itu juga menyakinkannya bahawa usahanya bukan sia-sia malah akan menjadi sumber pendapatan utama mereka sekeluarga.
“Sebenarnya yang mahir (membuat labu) adalah suami, dia yang belajar, pergi tengok kawan-kawan buat selepas habis kerja.
“Kalau diikutkan, untuk membuat hasil seni perlukan minat dan saya pun bukan berminat sangat cuma terpanggil untuk menjadikan bidang ini sebagai sumber pendapatan keluarga.
“Kadang-kadang manusia ini, apabila ada desakan dalam hidup, barulah kita akan melangkah dan perlahan-lahan saya pula belajar daripada suami,” katanya ketika ditemui di bengkel labu sayong di Sayong Lembah di sini, baru-baru ini.
Menurut Sazilah, pertama kali dia menghasilkan labu sendiri adalah untuk tempahan bunga telur dan memperoleh bayaran RM600 yang digunakan sebagai bayaran untuk mendapatkan lesen kenderaan.
Katanya, sejak itu, perniagaannya mula berkembang dengan mendapat banyak permintaan sehingga perlu menggaji pembantu bagi melancarkan pengeluaran.
“Kami bermula secara serius pada 2000, ketika itu hanya saya dan suami yang menghasilkan labu sebelum mengambil tiga pekerja pada 2003 dalam kalangan suri rumah sekali gus berkongsi rezeki dengan mereka.
“Saya akui, ketika mula-mula menghasilkan labu memang susah, kita tidak mahir dan tiada mesin dengan tanah liat pun kita beli yang sudah siap dibancuh.
“Untuk masuk ke pasaran pula, banyak cabaran yang ditempuh kerana orang cakap barang kita tidak elok, kualiti rendah. Bagaimanapun, semua itu kami ambil sebagai cabaran dan usaha untuk perbaikinya sehingga mampu bertahan sepanjang 21 tahun ini,” katanya.
Tambah Sazilah, dia dan suami, Mohd. Nasir Ismail, 58, memulakan perniagaan itu dengan modal yang diperolehi menerusi pinjaman RM500 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang digunakan untuk membeli tanah liat.
Katanya, pinjaman AIM itu memberi manfaat besar kepada dirinya dan bersyukur menerusi pinjaman itu, dia berjaya memiliki perusahaan sendiri dan mampu membesarkan anak-anak hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Sazilah boleh dihubungi di nombor 018-5718843 bagi mereka yang ingin mendapatkan produk labu sayong keluarannya. – UTUSAN